X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Polis buru pemandu kereta lari dan langgar MPV polis

Kenderaan MPV polis rosak akibat dilanggar kereta yang dipandu suspek pada Sabtu.
A
A

SUBANG JAYA - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan PJS 7/19, Bandar Sunway, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, Pusat Kawalan Daerah (PKD) Subang Jaya telah menerima panggilan daripada anggota unit cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) yang memaklumkan terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback, warna kelabu dalam keadaan mencurigakan pada jam 7.25 malam.

"Kenderaan tersebut dipandu oleh seorang lelaki, apabila pemeriksaan cuba dibuat, kenderaan tersebut telah mengundur dengan laju sehingga melanggar kenderaan MPV," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Abd Khalid berkata, pihaknya telah mengejar suspek sehingga ke jalan susur keluar Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

"Kita berjaya menyekat kenderaan itu, namun suspek sekali lagi mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan MPV untuk kali kedua.

"Pelanggaran kedua menyebabkan kenderaan MPV rosak teruk di bahagian hadapan dan tidak dapat bergerak," katanya.

Beliau berkata, suspek berjaya melarikan diri bersama kenderaan.

"Sejurus kejadian itu, hebahan telah dibuat untuk menggerakkan semua elemen yang berada di lapangan untuk mengesan dan menangkap suspek," katanya.

Abd Khalid berkata, anggota yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Cubaan membunuh), Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 188 Kanun Keseksaan (Mengingkari perintah oleh penjawat awam) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (Memandu secara melulu)," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang digunakan oleh suspek pernah dilaporkan hilang pada 21 Jun lalu di Batu 9, Cheras.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Sehingga kini, kenderaan tersebut masih belum dijumpai.

"Kita memohon kerjasama daripada orang awam sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian atau kenderaan yang digunakan oleh suspek, boleh menghubungi talian 03-5621 0343 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya)," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!