Sudah ada ciri negara gagal

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MENGIKUT frasa digunakan perkhidmatan berita ekonomi antarabangsa Bloomberg, Malaysia sedang terhoyong-hayang menuju ke arah negara gagal.

Dalam ulasannya, penulis, Daniel Moss berkata, suatu masa dahulu Perdana Menteri Malaysia dicemburui kerana berjaya memberi kepemimpi-nan yang stabil walaupun kadangkala bersifat mencengkam.

Menggunakan contoh sukan tinju, menurut Daniel, Malaysia pernah bertinju dengan negara-negara yang lebih besar di pentas antarabangsa. Dan katanya lagi, dengan mengibarkan bendera putih iaitu rujukan kepada kempen awam membantu mangsa Covid-19, ia turut memberi gambaran Malaysia kini reda menjadi negara tidak berfungsi. Tambahnya, Malaysia kini dilanda pelbagai krisis – sosial, ekonomi dan politik – yang saling merosakkan.

Oleh sebab Malaysia pernah terkenal dan diiktiraf kerana kestabilan politiknya, maka tidak hairanlah jika penulis membuat kesimpulan bahawa wakil rakyat hari ini ternyata gagal dengan teruk sekali untuk menyokong seorang pemimpin yang boleh membawa Malaysia keluar daripada penderitaan.

Adakah benar Malaysia sebuah negara tidak berfungsi dan sedang menuju ke arah status negara gagal (failed state)?

Pertumbuhan ekonomi kita mula menurun sejak 2010 dan menjadi lebih sukar sejak empat atau lima tahun lalu akibat kesan global perang dagang Amerika Syarikat-China.

Bagi kebanyakan orang, perangkaan ekonomi itu tidak bermakna kecuali apabila diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang terjamin, pendapatan mencukupi dan kos sara hidup yang stabil.

Sejak lebih setahun lalu akibat pandemik, rampasan kuasa luar Parlimen dan pengurusan krisis yang kucar-kacir, ramai rakyat telah hilang jaminan tersebut. Bagi mereka, Malaysia gagal sehingga ada terpaksa mengibarkan bendera putih.

Artikel Berkaitan:

Serentak itu, kadar jangkitan Covid-19 dan kematian semakin meningkat walaupun kerajaan mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen dengan alasan mahu memerangi pandemik. Kita pernah mendengar Indonesia, Filipina dan Myanmar digelar negara gagal. Kita boleh faham dan percaya kerana rakyat mereka berduyun-duyun datang ke Malaysia mencari makan. Kini, Indonesia dan Filipina mula mendahului kita.

Tetapi untuk menjadi negara gagal, sesebuah negara itu memerlukan lebih daripada rampasan kuasa politik dan kejatuhan sementara pertumbuhan ekonomi. Ada banyak lagi kriteria perlu ada sebelum negara itu boleh diisytiharkan negara gagal.

Jika mengikut Indeks Negara Rapuh (Fragile States Index) yang dikeluarkan pertubuhan Fund for Peace (FFP), kriteria negara gagal atau negara rapuh merangkumi pasukan keselamatan, elit masyarakat, ketidakpuasan awam, kemerosotan ekonomi dan pemilikan harta, ketidakseimbangan pembangunan ekonomi, pelarian dan penghijrahan cerdik pandai, keabsahan kerajaan, perkhidmatan awam, hak asasi manusia dan hukum undang-undang, tekanan penduduk, pelarian dalam dan luar negara serta campur tangan asing.

Jika mengikut kriteria itu, Malaysia mengalami atau merasai sebahagian besar daripadanya terutama keabsahan kerajaan yang menjadi punca negara kita dibimbangi banyak pihak di dalam dan luar negara.

Menurut FFP lagi, Malaysia berada dalam kategori 'lebih stabil’ seperti Kuwait, Brunei, Cuba, Mongolia, Oman, Albania dan Hungary. Namun, penarafan 'lebih stabil’ itu tidak bermakna kita terselamat daripada ancaman, khususnya pergerakan modal antarabangsa.

Sudah pun ada tanda-tanda bahawa banyak pelabur asing telah membawa keluar modal mereka, manakala pelabur baharu tidak lagi memberi keutamaan kepada Malaysia.

Bahaya paling besar adalah ketidakstabilan politik kerana pelabur antarabangsa sedang mengatur penempatan modal mereka bagi mengambil kesempatan daripada pemulihan ekonomi selepas wabak Covid-19.

Kesimpulannya, walaupun Malaysia bukan negara gagal, namun sudah ada kriteria yang boleh menyebabkannya menuju ke arah negara gagal kalau kita tidak segera menyekat aliran itu.

Oleh itu, kita wajib memperbetulkan keadaan, khususnya menstabilkan semula pemerintahan negara supaya kehilangan keyakinan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing dapat disekat serta dipulihkan semula.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara