X

Kindly register in order to view this article
!

‘Minat untuk belajar semakin pudar’

Berdasarkan kajian yang dilakukan UNICEF di kawasan flat sekitar Kuala Lumpur ke atas golongan B40, enam daripada sepuluh pelajar mula hilang motivasi untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian.
A
A

SHAH ALAM - Golongan ibu bapa mula melahirkan rasa bimbang apabila anak-anak mereka menunjukkan rasa bosan dan hilang minat untuk belajar secara dalam talian sejak tahun lalu.Antara faktor yang menyebabkan keadaan itu berlaku ialah kekurangan peranti, capaian internet berkualiti rendah dan ketidakupayaan ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka.

Berdasarkan kajian yang dilakukan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di kawasan flat sekitar Kuala Lumpur ke atas golongan B40, mendapati enam daripada sepuluh pelajar mula hilang motivasi untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian.

Menurut Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong, kehilangan minat dalam kalangan pelajar perlu diambil serius.

Menurut beliau, situasi tersebut bakal memberi impak negatif terhadap proses pembelajaran.

“Antara impak negatif yang bakal dihadapi pelajar ketika ini adalah mereka akan berasa kurang yakin terhadap pembelajaran dalam jangka masa yang panjang meskipun pengajaran dan pembelajaran selepas itu dijalankan secara fizikal ataupun bersemuka di sekolah.

“Apabila pelajar kurang keyakinan ia akan memberi impak terhadap prestasi pembelajaran di mana hasilnya akan tidak seberapa.

Teo Kok Seong
Teo Kok Seong

“Jika perkara ini berlaku secara berterusan, dikhuatiri pelajar akan tidak minat untuk hadir ke sekolah seterusnya akan meningkatkan bilangan pelajar yang tercicir,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad pada Sabtu.Mengulas lanjut Kok Seong berpendapat, terdapat beberapa punca yang menyebabkan pelajar menjadi jemu dan hilang minat untuk belajar dalam talian antaranya ialah masalah capaian internet.

“Prasarana internet yang tidak baik, bagi kesan yang besar di mana kita dapat lihat sesetengah kawasan kena mendaki bukit untuk dapat liputan internet lebih baik.

“Jadi secara tidak langsung ia akan memberi kesan terhadap mental pelajar untuk menjalani pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menjalankan lebih banyak sesi kaunseling terhadap pelajar yang terkesan akibat pelaksanaan belajar secara dalam talian yang dilihat dapat membantu memulihkan keyakinan mereka kembali.

“Saya rasa kalau sesi kaunseling dilakukan dalam talian tiada masalah namun kerajaan harus memikirkan cara lain takut ada pelajar yang tidak akan sertai kerana sudah jemu dengan cara itu,” katanya.

Situasi hilang minat atau bosan bakal memberi impak negatif terhadap proses pembelajaran.
Situasi hilang minat atau bosan bakal memberi impak negatif terhadap proses pembelajaran.

Rekod kehadiran pelajar ikuti kelas online membimbangkan

Sementara itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) bimbang dengan rekod kehadiran pelajar yang rendah mengikuti pembelajaran secara dalam talian ketika ini.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, penurunan jumlah tersebut menggambarkan lebih ramai yang akan tercicir dalam pembelajaran mereka.

Bagaimanapun, i-Guru akan mengenal pasti faktor yang menyebabkan jumlah pelajar mengikuti kelas dalam talian menurun sama ada masalah capaian internet atau cara penyampaian oleh guru yang tidak menarik.

“Semua perkara itu kita kena ambil kira supaya dalam tempoh pandemik Covid-19 ini anak-anak kita tetap mendapat pendidikan terbaik,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad pada Sabtu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan faktor jumlah pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian menurun kerana hilang motivasi disebabkan masalah internet atau cara guru mengajar.

“Jadi, di sinilah perlunya sokongan ibu bapa untuk sentiasa memberi semangat dan memantau anak-anak mengikuti kelas itu.

Ujarnya, dalam tempoh sukar mendepani pandemik Covid-19 ketika ini, aspek pendidikan tetap menjadi keutamaan bagi memastikan tidak wujud the lost generation atau generasi yang hilang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!