X

Kindly register in order to view this article
!

Hentikan mainan politik

A
A

SISTEM politik di Malaysia kian berantakan dari sehari ke sehari. Minggu ini sahaja UMNO telah mengeluarkan kenyataan menarik diri daripada kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun beberapa jam sebelum itu Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Kanan yang baharu daripada UMNO.

Tindakan Muhyiddin dilihat langsung tidak menjadi pemangkin untuk UMNO terus berada dalam kerajaan, sebaliknya UMNO mendesak beliau meletak jawatan.

Ironinya, sekitar Mac tahun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, pelantikan empat Menteri Kanan dalam Jemaah Menteri beliau menyebabkan tiada keperluan melantik TPM.

Namun kini TPM dilantik tetapi empat Menteri Kanan masih dikekalkan. Persoalan ditimbulkan rakyat – apakah keperluan mengekalkan empat Menteri Kanan apabila TPM dilantik?

Ramai rakyat berpandangan pelantikan itu hanya akan menambah beban kerajaan untuk membayar gaji dan elaun, bukan sahaja kepada TPM dan Menteri Kanan baharu tetapi juga kakitangan serta pejabat baharu mereka, sedangkan rakyat sedang menghadapi kemelut ekonomi dan kesihatan.

Hal itu sekali lagi menzahirkan kegagalan sistem politik di Malaysia yang mengikut acuan dari British.

Mungkin sistem berkenaan sesuai di British tetapi ia perlu disesuaikan di Malaysia. Ia terbukti apabila kita melihat rakyat Malaysia berpolitik ‘24/7/365 ‘ (24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 365 hari setahun) tanpa henti.

Tumpuan kerajaan kepada kesejahteraan rakyat sering dikesampingkan, apatah lagi menggarap strategi mampan bagi menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin lama semakin membimbangkan walaupun pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan, proklamasi darurat diisytiharkan dan sekatan kebebasan rakyat dilaksanakan dalam beberapa aspek.

Dalam kalangan orang politik, kuasa sangat penting. Sebab itulah, bagi yang berada di tampuk kuasa, mereka mahu mempertahankannya dan bagi mereka yang tidak memiliki kuasa, mereka mahu merampasnya.

Rakyat sudah muak dengan mainan politik sebegini kerana kesejahteraan rakyat dan negara tidak diberi keutamaan. Sampai bila ia akan berterusan?

Jika pun berlaku perubahan kerajaan, ia masih tidak menjadi kerajaan yang kukuh. Mainan sama akan dilakukan lagi. Jika berlaku pilihan raya umum, tiada jaminan kerajaan dipilih akan menjadi kerajaan yang kuat. Natijahnya, fenomena yang sama akan berulang.

Anjakan paradigma

Rakyat dan ahli politik perlu anjakan paradigma. Mereka harus sedar memiliki kuasa bukanlah suatu tasyrifan (kemuliaan) tetapi semata-mata taklifan (kebertanggungjawaban) kepada negara. Jika hakikat itu diinsafi, negara akan terselamat daripada mara bahaya.

Sudah sampai masanya Malaysia menekan butang ‘reset’ bagi memformatkan semula negara. Peranan politikus mungkin perlu diminimumkan dengan memberi keutamaan kepada peranan agamawan, teknokrat dan masyarakat sivil.

Dengan cara itu, matlamat mengekalkan kuasa tidak lagi akan menjadi agenda utama dan rakyat didahulukan. Saya pernah menulis mengenai ‘Reset Malaysia’ bagi melontarkan idea mensejahterakan negara ketika itu.

Kebimbangan saya berasaskan kepada polemik dihadapi negara. Kini saya lebih bimbang dengan keadaan dalam negara, khususnya apabila keselamatan kesihatan dan ekonomi negara di tahap meruncing.

Dari sudut undang-undang, ‘Reset Malaysia’ boleh dilakukan dengan meneliti semula peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberi tafsiran tepat mengenainya. Malaysia perlukan perubahan dalam sistem pemerintahan.

Kita akur Yang di-Pertuan Agong ialah eksekutif sebenar bagi Persekutuan, Jemaah Menteri hanya menjalankan fungsi eksekutif Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Moga ada sinar perubahan di Malaysia. Kita perlu tahu membezakan cahaya daripada kegelapan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!