Perlu rombakan kabinet Malaysia

No Image Caption
A
A
A

PERSELISIHAN dua parti utama dalam kerajaan, UMNO dan Bersatu sudah berlarutan sejak September 2020. Kedua-dua pihak mempunyai hujahan dan pandangan tersendiri.

Memilih pihak mana mahu dianggap benar atau betul bergantung sejauh mana maklumat yang kita tahu ada kebenaran. Sejauh mana kita meneliti dan memahami kronologi peristiwa yang berlaku. Namun, kerap kali politik dan sejarah, sikap berpihak bergantung kepada di mana kita berdiri.

Dalam Bersatu, ada kumpulan mahu ‘membunuh’ UMNO. Mereka melakukan keputusan yang berusaha mengecilkan peranan dan ke-dudukan strategik UMNO dalam politik. Malah, perundingan kerusi parti UMNO-Bersatu gagal di peringkat awal juga kerana sikap dan pemikiran kumpulan berkenaan.

Dalam UMNO juga ada yang mahu melihat kerajaan itu gagal. Mereka berusaha memecah-belahkan kerajaan ini sejak Ogos 2020. Permintaan demi permintaan atas nama rakyat dijadikan galang ganti sokongan sementara mereka. Apabila tuntutan tertentu dipenuhi, mereka datang dengan tuntutan lain. Pada masa yang sama, di belakang tabir mereka berterusan bekerja untuk menjatuhkan kerajaan.

Sudah tentu semua tuntutan itu baik untuk rakyat, namun mereka juga tahu kemampuan kerajaan tidak mungkin memenuhi semua tuntutan tersebut. Justeru, permintaan itu bukanlah ikhlas tetapi lebih kepada mewujudkan kronologi alasan bagi menjustifikasi agenda sulit. Mereka meletakkan tanda aras tinggi supaya kerajaan ini gagal.

Ia adalah realiti politik yang sangat memenatkan rakyat sejak September 2020. Perubahan kecil dalam kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin sebenarnya tidak mencukupi untuk meyakinkan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Keselamatan dan membantu Perdana Menteri dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Rapuh

Artikel Berkaitan:

Walaupun terdapat tanggapan, pelantikan itu adalah usaha terakhir Perdana Menteri menyatukan kerajaan yang rapuh, namun realitinya sangat jauh berbeza. Muhyiddin telah lama memaklumkan kepada UMNO bahawa beliau bersedia melantik Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO sekiranya parti tersebut mencalonkan beberapa nama kepada beliau.

Namun, hal itu tidak pernah diselesaikan secara tuntas sehinggalah beberapa hari lalu, 35 ahli Parlimen Barisan Nasional membuat tuntutan terbuka kepada Perdana Menteri agar dilantik Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan mereka.

Dari segi kedudukan dalam parti, Ismail Sabri merupakan orang paling kanan layak dilantik Timbalan Perdana Menteri. Ia kerana kedudukan Presiden UMNO yang mempunyai kes mahkamah dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bukan ahli Parlimen.

Perubahan peranan Hishammuddin boleh difahami kerana beliau dikatakan mengetuai blok 25-29 ahli Parlimen BN pasca PRU14. Cuma, perubahan kecil itu tidak mencukupi jika Muhyiddin mahu kerajaannya kekal sehingga akhir penggal.

Perdana Menteri perlu mempertimbangkan satu rombakan kabinet bagi menunjukkan perubahan dibuat itu bukan sekadar kosmetik untuk meredakan tekanan UMNO.

Misalnya, adalah tidak realistik meletak tanggungjawab Menteri Luar Negeri mengetuai Kluster Keselamatan. Hishammuddin tidak langsung mempunyai agensi berkaitan keselamatan untuk membolehkan beliau menguruskan hal keselamatan negara dengan lebih efektif.

Sekurang-kurangnya sebagai Menteri Kanan Keselamatan, Hishammuddin perlu mengetuai salah satu cabang penting keselamatan sama ada Pertahanan, Dalam Negeri atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, banyak juga kementerian yang gagal memainkan peranan dengan efektif sehingga memberi ruang kepada musuh mencipta kempen buruk kepada kerajaan.

Kerajaan perlu dilihat bersedia membuat perubahan dalam menangani kelemahan beberapa anggota kabinetnya. Apabila gelombang kemarahan rakyat terlalu besar, sama ada kelemahan itu satu persepsi atau fakta sudah tidak penting.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)