X

Kindly register in order to view this article
!

Keperitan hidup Fendy Caliph Buskers dapat perhatian kerajaan

Wan Ahmad Fayhsal (kiri) beramah mesra dengan ahli kumpulan Caliph Buskers Fendy Adlun, 30, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan selepas menyerahkan bantuan di kediaman Fendy di Bayu Sentul Kondominium, Jalan Dato Senu Tiga hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Keperitan hidup yang dilalui pemain dram kumpulan muzik terkenal Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, setelah lebih setahun pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19 mendapat perhatian kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya akan memastikan permohonan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sebelum ini pernah dimohon Fendy, diuruskan dalam kadar segera.

“Saya akan bawa pegawai DBKL untuk proses permohonan ini dan diselesaikan secepat mungkin... rumah yang disewa ketika ini RM1,300 sebulan.

Beliau sebelum ini merupakan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi sejak tahun 2019 disebabkan pendapatan yang melebihi daripada sepatutnya, beliau tidak dapat bantuan itu secara berterusan dan dihentikan,” katanya selepas melakukan kunjungan ke kediaman Fendy, di sini pada Sabtu.

Rina berkata, bagaimanapun dalam keadaan pandemik kini, ramai yang terjejas termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Kerajaan tidak meminggirkan OKU dan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ada pakej bantuan untuk OKU terjejas pendapatan iaitu bantuan RM500 sebulan selama tiga bulan berturut-turut melibatkan peruntukan RM30 juta.

Saya juga sudah berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk bantuan melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) dan Dana Kreatif Malaysia kepadanya. Sukarelawan akan memantau kelangsungan hidup bapa tunggal itu dengan anak perempuannya, Nur Azalea Zafirah berusia 6 tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang turut melawat Fendy berkata, pihaknya akan membantu Fendy untuk menjana semula pendapatan melalui sistem "freelance" ekonomi yang dibina bersama KKMM di bawah program Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi myGIGI dan Glow.

“Kita akan raih sumbangan secepat mungkin bagi membeli set dram elektrik untuk beliau mencari nafkah hidup secara dalam talian,” katanya.

Dua set dram yang sebelum ini menjadi punca mata pencarian Fendy telah dijual sebagai usaha untuk menampung perbelanjaan harian termasuk perbelanjaan anaknya yang juga OKU penglihatan,

Fendy berkata: “Dua set dram kesayangan yang dibeli sekitar RM4,500 terpaksa dijual pada harga RM1,500, RM2,000 selepas duit simpanan yang digunakan semakin berkurang, saya agak terbeban untuk tampung sewa rumah, bil utiliti dan sebagainya sejak Januari 2020 bila tiada lagi persembahan dan hanya menggunakan duit simpanan untuk kelangsungan hidup.

Sekarang saya ada buat 'busking’ secara langsung setiap Sabtu jam 9 malam menerusi Facebook dan YouTube dan ini juga antara usaha untuk jana pendapatan setakat apa yang saya mampu, kalau saya celik sudah tentu saya buat Foodpanda atau Grabfood,” katanya.

Pada Jumaat, tular sebuah video yang telah dimuat naik ke laman media sosial memaparkan pemuzik ini yang membuat pemakluman kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai bebanan yang sedang ditanggung dirinya untuk menyara anak perempuannya berikutan pandemik Covid-19. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!