X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksinasi persiap malim Gunung Kinabalu terima pelancong

Petugas Gunung Kinabalu terutama malim gunung menyifatkan suntikan vaksin yang diberi pada program vaksinasi bagi kumpulan itu sebagai langkah mempersiap mereka untuk menerima pelancong dalam norma baharu nanti. - Gambar hiasan
A
A

RANAU - Petugas Gunung Kinabalu terutama malim gunung menyifatkan suntikan vaksin yang diberi pada program vaksinasi bagi kumpulan itu sebagai langkah mempersiap mereka untuk menerima pelancong dalam norma baharu nanti.

Suzana Bulangai, 48, berkata, vaksinasi sangat penting bukan hanya untuk melindungi diri mereka daripada jangkitan wabak tetapi juga kepada pelancong yang dibawa mendaki Gunung Kinabalu nanti.

“Vaksin ini amat penting kerana risiko jangkitan ada, jadi vaksin ini sebagai perlindungan,” kata malim gunung wanita itu kepada Bernama selepas program vaksinasi dekat sini pada Khamis.

Pada program anjuran Taman Taman Sabah (TTS) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Ranau di Taman Kinabalu, Kundasang itu, kira-kira 300 individu terdiri daripada malim gunung, porter dan kakitangan TTS menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan seramai 60 petugas kesihatan mengendalikan proses vaksinasi.

Seorang lagi malim gunung, Ehing Sakumbang, 47, berterima kasih kepada TTS atas usaha itu kerana ia dapat memudahkan mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan menerima suntikan vaksin secepat mungkin.

“Ini inisiatif yang bagus kerana ia sebagai persediaan kami sebelum aktiviti pendakian dibuka semula dan dalam masa sama dapat melindungi diri daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Pandangan sama turut diberikan Japarin Ginsos, 43, yang berkata, insiatif diambil TTS itu sangat tepat apatah lagi beliau difahamkan hanya malim gunung yang menerima vaksin dibenar untuk meneruskan tugasan mereka apabila aktiviti pendakian beroperasi semula.

“Saya menerima panggilan janji temu seminggu lebih awal. Walaupun ada rasa gementar kerana takut jarum tetapi perasaan itu hilang kerana saya gembira dan teruja untuk menerima suntikan vaksin,” katanya.

Bagi seorang lagi malim gunung Abdul Hasinin Kasim, 49, program vaksinasi secara berkelompok untuk malim gunung akan dapat memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima vaksin. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!