MyHouse inisiatif bantu berhenti merokok

Dr Murallitharan semasa program Sinar Live bertajuk 'Duduk Rumah, Jangan Merokok' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Dr Murallitharan semasa program Sinar Live bertajuk 'Duduk Rumah, Jangan Merokok' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM- Program MyHouse merupakan satu inisiatif bagi membantu individu untuk berhenti daripada ketagihan merokok.

Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr M Murallitharan berkata, ia merupakan satu gerakan komuniti yang dilakukan bagi memastikan setiap rumah yang berdaftar bebas daripada asap rokok.

Menurut beliau, program itu adalah secara sukarela kepada masyarakat yang berminat bagi memastikan rumah serta kawasan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok.

“MyHouse ialah satu gerakan yang mana masyarakat dari mana-mana golongan dan rumah membuat aku janji sendiri. Aku janji di mana mereka sendiri mengisytiharkan bahawa akan mencuba untuk menjadikan kawasan rumah bebas daripada asap rokok.

“Kami bukan memaksa untuk berhenti merokok, tetapi kita mahu mengetengahkan bahawa bila anda berada di kawasan yang terhad dan bersama-sama orang tersayang, anda berikan mereka risiko yang jauh lebih tinggi jika anda seorang perokok.

“Sebaik sahaja anda mendaftar dan meletakkan diri ke dalam program ini, kita akan menghantar cenderamata sebagai satu tanda penghargaan,” katanya semasa program Sinar Live bertajuk 'Duduk Rumah, Jangan Merokok' yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhar dan disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi yang berminat boleh membuat pendaftaran melalui www.my-house.com.my

Tambahnya, terdapat cabutan bertuah serta anugerah yang ditawarkan kepada mereka yang berjaya mengikuti tugasan yang telah diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga dalam perancangan untuk memberikan diskaun gerai-gerai tertentu kepada peserta. Ini adalah untuk menarik minat mereka.

“Kami berharap daripada inisiatif ini dapat mencucuk minda dan sanubari golongan merokok untuk melibatkan diri bersama. Jadikan rumah bebas asap rokok. Sayangilah keluarga anda semua,” ujarnya.

Jelasnya, kegiatan merokok di rumah perlu dielakkan bagi memastikan ahli keluarga tidak berada dalam keadaan yang terjejas dan dijangkiti wabak Covid-19.

Menurut beliau, perokok merupakan seseorang yang mudah dijangkiti wabak Covid-19 kerana terdapat 'ace receptor' di dalam sel paru-paru yang menyebabkan virus itu dijangkiti.

“Lebih banyak adanya 'ace receptor' dalam paru-paru, makin mudah kebarangkalian untuk dijangkiti Covid-19.

“Bukan sahaja merokok menjejaskan diri anda tetapi juga menjejaskan orang di sekeliling kerana sekarang anda terperangkap di rumah sahaja bersama ahli keluarga. Mereka juga akan mengalami peningkatan stimulasi 'ace receptor' itu dalam paru paru mereka,” katanya.

Selain itu, menurut Dr Murallitharan, kegiatan merokok juga mendatangkan kesan negatif kepada kanak-kanak.

Jelasnya, bahan kimia yang terlekat di anggota badan mahupun baju yang dipindahkan kepada kanak-kanak menjadikan mereka lebih mudah mendapat penyakit asma.