Felda perlu mantapkan pengurusan, peneroka harus bekerjasama

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu memantapkan pengurusannya manakala peneroka harus bekerjasama dengan Felda bagi memastikan kelestarian pada masa hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa
Mustapa

Beliau berkata, pengurusan Felda misalnya telah menetapkan dalam tempoh dua atau tiga tahun ini untuk meningkatkan kadar perahan minyak sawit kepada 25 peratus dan bagi mencapai sasaran tersebut ia perlu mempertingkatkan pengurusannya.

“Kerajaan mahu peneroka bekerjasama dengan Felda dan pengurusan Felda juga perlu dimantapkan, ini adalah antara syarat yang akan dipantau kerajaan.

“Saya tahu kebanyakan peneroka bersyukur (dengan pengumuman baru-baru ini) dan kita mahu peneroka bersama dengan pengurusan Felda untuk terima syarat-syarat yang dikenakan.

“Kerajaan mahu lihat Felda lebih lestari apabila hutang kurang,” katanya dalam program Agenda Awani bertajuk ‘Inisiatif Penjanaan Semula Felda’, yang disiarkan malam Jumaat.

Mengulas mengenai syarat-syarat pinjaman peneroka, Mustapa berkata, peneroka perlu konsisten menghantar hasil tuaian sepenuhnya, berdisiplin dalam melunaskan pinjaman manakala pengurusan ladang perlu diserahkan kepada Felda.

Menurutnya, sebelum ini ladang sawit melaksanakan pelbagai amalan berbeza dan tidak ada disiplin memandangkan ia diuruskan oleh pelbagai pihak, justeru Felda berhasrat untuk menguruskannya sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Pengurangan hutang ini bersyarat, maknanya ialah konsep kebersamaan dengan Felda. Bagaimanapun, itu antara syarat-syaratnya, pihak pengurusan akan beri pencerahan kepada peneroka,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutamanya bagi generasi awal.

Muhyiddin berkata, pelupusan bersyarat itu merangkumi, antaranya, pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Dis 2019, berjumlah RM8 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka atau 82 peratus daripada keseluruhan 112,638 warga peneroka. - Bernama