Juruteknik rugi RM470,000 diperdaya 'wakil LHDN'

Seorang juruteknik kerugian RM470,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam pada Rabu.
Seorang juruteknik kerugian RM470,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang juruteknik kerugian RM470,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, lelaki berusia 57 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Alor Setar, Kedah.

"Lelaki itu memperkenalkan diri sebagai David Simon dan memberitahu nama pengadu telah disenarai hitam kerana tidak melunaskan pembayaran cukai tertunggak sebanyak RM17,600.76 atas nama sebuah syarikat yang didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia di Alor Setar.

"Suspek memberitahu ada tangkapan telah dibuat terhadap seorang lelaki bernama Mohd Faisol Ariffin yang mempunyai akaun bersama yang didaftarkan dengan mangsa," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa menafikan perkara itu dan telah disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Ujarnya, mangsa diarahkan untuk memberikan maklumat kesemua akaun bank yang ada berserta kata laluan dan nombor pada kad mesin juruwang automatik (ATM).

"Suspek kemudian telah meminta mangsa membuat beberapa transaksi ke akaun yang diberikan bagi tujuan pemeriksaan.

"Mangsa juga telah menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan diminta menghantar tangkap layar SMS itu kepada seorang polis melalui WhatsApp di talian 87004734221," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa menyedari tertipu apabila melihat semula mesej yang dihantar dan pada semalam (Jumaat) sebelum menghubungi pihak bank untuk menyekat akaunnya.