X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya dua cara PM baharu boleh dilantik

Sekiranya kerajaan PN tumbang, Muhyiddin (kanan, depan) berkemungkinan meletak jawatan sekiranya dirasakan perlu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong atau ahli Parlimen mengemukakan SD menarik sokongan terhadap beliau. Gambar kecil: Shamrahayu
A
A

SHAH ALAM - Pakar perlembagaan berpandangan terdapat dua cara boleh dilakukan ketika ini berhubung pelantikan perdana menteri baharu susulan keputusan UMNO menarik sokongan serta-merta terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, cara pertama ialah Muhyiddin meletak jawatan sekiranya merasakan perlu berbuat demikian dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Cara kedua, ahli Parlimen mengemukakan perakuan berkanun (SD) menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin dan menyatakan kepercayaan kepada seseorang yang lain untuk menjadi perdana menteri.

“Oleh kerana pelantikan Muhyiddin dahulu berdasarkan kepercayaan majoriti dan dibuktikan melalui dokumen undang-undang iaitu SD, maka untuk menyatakan sebaliknya ketika ini, ia perlu dilakukan semula.

“Sebab syarat untuk menjadi perdana menteri interim, ia tidak ada peruntukkan khusus dalam perlembagaan. Apabila mahu melantik perdana menteri, seseorang itu hendaklah juga pada hemat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kepercayaan majoriti,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak perlu Perdana Menteri interim, Anwar calon terbaik

Ujar beliau, peristiwa kerajaan tumbang ketika pelaksanaan darurat masih berkuat kuasa boleh berlaku kerana tiada pengecualian dalam Ordinan Darurat mengenai boleh hilangnya kepercayaan majoriti kepada ahli Dewan Rakyat.

Menurutnya, kuasa Yang di-Pertuan Agong menentukan siapa yang bakal mentadbir kerajaan.

“Kita perlu lihat keadaan sama ada perdana menteri sudah sebenarnya hilang kepercayaan majoriti dahulu.

“Justeru, Yang di-Pertuan Agong pada ketika ini, pada saya tidaklah perlu mengambil tindakan sehinggalah isu politik itu dapat diselesaikan oleh orang politik sendiri.

“Jadi dalam menentukan siapa yang akan mentadbir kerajaan dan sebagainya ini, perlulah ditunggu dokumen sah atau yang bersifat perundangan atau diiktiraf dalam perundangan yang menyatakan bahawa perdana menteri ketika ini sudah hilang kepercayaan majoriti,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!