Lelaki ditahan bersama 22 biji durian musang king

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki ditahan bersama 22 biji durian musang king oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) kerana berada dalam Kompartmen 175 Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, pada Khamis.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, lelaki berusia 42 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu ditahan atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit.

Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa, mahu ke kebun miliknya yang terletak bersebelahan HSK Batu Talam untuk mengambil durian yang gugur namun secara tidak sengaja memasuki hutan simpan tersebut.

"Lelaki itu berjaya melepasi dua sekatan jalan raya (SJR) pihak berkuasa dengan alasan untuk ke kebunnya dan membawa geran tanah sebagai bukti.

"Kami tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit mengambil durian yang terdapat dalam hutan ini untuk menjualnya kepada pemborong.

"Jadi, dia ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan sementara motosikal dan 22 biji durian disita," katanya pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, lelaki berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, penebangan pokok durian Musang King di kawasan seluas 101 hektar di HSK Batu Talam dipersoalkan oleh netizen memandangkan pokok durian lebat berbuah.

Kerja-kerja penebangan itu dilakukan dalam operasi penguatkuasaan di HSK Batu Talam, Raub sehingga menyebabkan 18 pekebun haram durian Musang King di kawasan itu ditahan kerana melakukan provokasi.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun berkenaan direman namun mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan

18 pekebun durian musang king direman dua hari