Lima laluan ditutup PKPD mukim Bidor, Batang Padang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAPAH - Lima laluan keluar masuk ke Mukim Bidor dan Batang Padang di sini ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, penutupan semua laluan itu dilakukan untuk mengawal pergerakan penduduk bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di kedua-dua mukim terbabit.

"Lima laluan ditutup itu adalah persimpangan Jalan Jambai, Batu 3 Jalan Pahang; Jalan Chenderiang Lama dan Terowong Keretapi di Jalan Changkat Dermawan, Tapah Road.

"Penutupan jalan turut membabitkan persimpangan lampu isyarat di Jalan Bidor-Sungkai dan hadapan Kilang Lhoist di Temoh," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata, polis turut mendirikan empat pos kawalan di lokaliti terbabit dalam usaha memastikan penguatkuasaan arahan pelaksanaan PKPD dapat dilaksanakan dengan baik.

Katanya, empat pos kawalan itu adalah di persimpangan Chenderiang (di hadapan Capati Corner; hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Hassan di Changkat Petai, Tapah Road; hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Bidor serta hadapan Bidor Solar Power Plant di Jalan Bidor-Teluk Intan.

"Hasil pemantauan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, 523 kes telah dikesan positif Covid-19 hasil saringan ke atas 3,271 penduduk di lokaliti terbabit.

"Jadi pos kawalan dan penutupan jalan ini tidak lain adalah sebagai langkah untuk mengetatkan lagi kawalan dan penguatkuasaan di kawasan PKPD," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Azharuddin turut menasihatkan orang ramai sentiasa memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang dikesan melakukan perlanggaran SOP," katanya.

Pada Khamis, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Mukim Bidor dan Batang Padang berkuat kuasa 10 Julai hingga 23 Julai selepas berlaku peningkatan trend kes jangkitan Covid-19.