Covid-19: Bekas pesakit tak perlu tunggu 3 bulan dapatkan vaksin

Individu yang pulih daripada Covid-19 tidak perlu menunggu selama tiga bulan untuk disuntik vaksin. - Foto Bernama
Individu yang pulih daripada Covid-19 tidak perlu menunggu selama tiga bulan untuk disuntik vaksin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas pesakit Covid-19 iaitu individu yang telah pulih daripada jangkitan virus berkenaan tidak lagi perlu menunggu selama tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin.

Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, sebaliknya mereka boleh menerima suntikan vaksin lebih awal.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam persidangan jawatankuasa berkenaan pada Khamis berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan.

"Walaupun bukti terkini menunjukkan jangkitan semula jadi virus itu menghasilkan perlindungan yang baik terhadap jangkitan semula selama sekurang-kurangnya tiga bulan, namun kemunculan varian baharu virus ini menyebabkan ada keperluan bagi pemberian vaksin yang lebih awal daripada tempoh ditetapkan sebelum ini.

"Sehubungan itu, bekas pesakit Covid-19 yang telah disahkan bebas daripada virus ini, dibenarkan untuk divaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menurut janji temu yang diberikan," katanya.

Bagaimanapun, JKJAV menjelaskan, bagi pesakit Covid-19 yang mendapat antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 atau convalescent plasma sebagai sebahagian daripada rawatan Covid-19, mereka hanya dibenarkan mendapat suntikan vaksin sekurang-kurangnya 90 hari selepas tarikh pulih daripada jangkitan virus tersebut.

Tegasnya, ia adalah langkah berjaga-jaga yang diambil kini, sehingga terdapat maklumat tambahan untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin.

"JKJAV juga ingin menggesa orang ramai yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19 untuk tidak hadir ke PPV walaupun telah mempunyai janji temu atau sebagai pengiring.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang terpaksa membatalkan janji temu ini akan diberikan satu tarikh baharu secara automatik kelak," katanya.