Dua suspek rempuh kereta polis diberkas

Batholomew (kiri) menunjukkan rampasan kereta jenis Perodua Bezza yang digunakan suspek untuk merempuh kenderaan polis pada Rabu lalu.
Batholomew (kiri) menunjukkan rampasan kereta jenis Perodua Bezza yang digunakan suspek untuk merempuh kenderaan polis pada Rabu lalu.
A
A
A

PAPAR - Dua suspek kes curi kabel yang bertindak merempuh kenderaan polis pada Rabu lalu akhirnya berjaya ditahan di sebuah stesen minyak Jalan Kimanis-Keningau pada Khamis.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 35 tahun terbabit ditahan oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, kedua-dua suspek dikesan berada di lokasi itu dan hasil serbuan turut merampas kereta jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan merempuh kenderaan polis ketika meloloskan diri.

Menurutnya, polis juga bertindak merampas telefon pintar milik kedua-dua suspek bagi membantu siasatan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek mengaku terbabit sekurang-kurangnya dalam 10 kes kecurian kabel telekomunikasi membabitkan nilai kira-kira RM100,000.

"Kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Papar untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Batholomew berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek turut positif dadah jenis metaphemanine dan amphetamine selain masing-masing mempunyai empat rekod jenayah lampau.

"Kedua-dua suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan cubaan membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada masyarakat dan penduduk di sekitar kerana menyalurkan maklumat berhubung suspek terbabit.