177 atlet, bekas atlet Kelantan terima bakul makanan

Imran (kanan) turut mengiringi Exco Kerjaan Negeri, Wan Roslan Wan Hamat (tengah) untuk berkunjung ke kediaman atlet yang berjaya meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan sebelum ini.
Imran (kanan) turut mengiringi Exco Kerjaan Negeri, Wan Roslan Wan Hamat (tengah) untuk berkunjung ke kediaman atlet yang berjaya meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan sebelum ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 177 orang atlet dan bekas atlet yang terdiri dari kumpulan B40 menerima sumbangan Bakul Makanan daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan pada Khamis.

Pengarah MSN Kelantan, Muhammed Imran Mansoor berkata, pemberian sumbangan berupa makanan asas itu bagi membantu meringankan beban mereka menghadapi Sekatan Pergerakan Penuh ketika ini dan selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Bila terlaksananya sekatan ini, mereka tidak boleh keluar bekerja dan sebagainya. Maka inilah salah satu inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri Kelantan bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga, sekurang-kurangnya boleh menjadi bekalan makanan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita menyampaikan bakul tersebut ke rumah mereka di sekitar Kota Bharu dan beberapa jajahan berdekatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhammed Imran berkata, selain itu, pihaknya juga turut menyampaikan Skim Insentif Kecemerlangan akademik kepada 18 atlet yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi tahun 2020 baru-baru ini.

Katanya, inisiatif di bawah program MSN KELACE yang merangkumi kebajikan, pendidikan dan kerjaya itu ialah sebagai galakkan dan tanda penghargaan daripada MSN kepada atlet tersebut.

Ketika ditanya mengenai latihan atlet yang dihentikan pada musim ini, beliau bagaimanapun berkata, kebanyakan atlet mengambil inisiatif menjalani sesi latihan sendiri di rumah.

"Mereka banyak buat latihan di rumah mengikut kesesuaian. Ada yang buat latihan dengan rakan-rakan dan jurulatih melalui dalam talian dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Ia merupakan usaha atlet itu sendiri bagi memastikan stamina mereka sentiasa terjaga, mengawal pemakanan dan sebagainya. Walaupun tiada latihan secara bersemuka di pusat latihan rasmi, namun ia bukan penghalang kepada atlet kita untuk sentiasa kekal aktif dan bertenaga," katanya.