Hilang 18 jam: ‘Nak pergi tandas pun dia menangis’ – Bapa Muhammad Irsyad Hakim

KUALA KRAI - Kanak-kanak berusia setahun lapan bulan yang ditemukan selamat di ladang getah selepas hilang kira-kira 18 jam masih ketakutan dan menangis apabila ditinggalkan bersendirian.
Bapanya, Mohammad Khairul Najmi Mohd Rosli, 26, berkata, anaknya, Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi dimasukkan ke wad Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini untuk pemantauan doktor selepas ditemukan pada pagi Isnin.
Menurutnya, keadaan anaknya semakin baik, malah tidak mengalami demam atau sebarang masalah kesihatan setakat ini serta mampu makan dan minum seperti biasa.
Bagaimanapun, Muhammad Irsyad Hakim masih menunjukkan tanda-tanda ketakutan apabila bapanya meninggalkannya walaupun seketika termasuk untuk ke tandas.
“Kalau saya nak ke tandas dia menangis (hingga) saya kena pujuk dulu, baru dia tenang.
“(Kalau) makan dan minum dia tak ada masalah, cuma kalau saya tinggalkannya bersednirian, dia takut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam kejadian itu, Muhammad Irsyad Hakim dipercayai hilang kira-kira jam 4 petang Ahad ketika berada di kawasan rumah keluarganya di Kampung Bechah Salak di sini sebelum kehilangannya disedari ibunya, Fatihah Che Mohd Zaki, 24.
Keluarga yang menetap di Bandar Jengka, Pahang itu baru tiba di kampung halaman Fatihah kira-kira jam 1 tengah hari pada hari kejadian untuk bercuti selama seminggu.
Muhammad Irsyad Hakim yang baru selesai dimandikan pada petang itu dipercayai hilang ketika bermain di halaman rumah selepas ibu saudaranya yang mengawasi kanak-kanak itu terlelap.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pasukan keselamatan dengan bantuan pelbagai agensi serta penduduk setempat sebelum kanak-kanak itu ditemukan selamat oleh seorang penoreh getah kira-kira jam 10.20 pagi Isnin.
Mohamed Fadhli Sudin, 41, terdengar suara tangisan kanak-kanak sebelum menuju ke kawasan semak di ladang getah berbukit itu dan menemukan Muhammad Irsyad Hakim.
Lokasi penemuan kanak-kanak itu terletak lebih satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Dia kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sekali gus melegakan ahli keluarga yang menunggu dengan penuh kebimbangan sejak kehilangannya dilaporkan.
Khairul Najmi berkata, anaknya masih berada di bawah pemantauan doktor dan dijangka dibenarkan pulang pada petang Selasa.
“Saya menemaninya di hospital dan jika keadaan kesihatannya terus baik, anak saya boleh balik petang ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

