Tabung darah untuk pesakit Covid-19 diperlukan

Orang ramai masih boleh menderma darah sepanjang tempoh PKP 3.0.
Orang ramai masih boleh menderma darah sepanjang tempoh PKP 3.0.
A
A
A

SEREMBAN - Pusat Perkhidmatan Darah, Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) memerlukan penderma darah berterusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP 3.0) bagi memastikan bekalan darah mencukupi,khususnya untuk keperluan pesakit Covid-19.

Pakar Perubatan Transfusi Pusat Perkhidmatan Darah, HTJS, Dr Firdaus Che Ros berkata, sekurang-kurangnya 50 beg darah diperlukan setiap hari untuk kegunaan pesakit Covid-19.

Menurutnya, dianggarkan antara lima hingga 10 pesakit Covid-19 memerlukan transfusi darah di HTJS setiap hari.

"Ini kerana pesakit Covid-19 mengalami kekurangan darah disebabkan oleh komplikasi sejarah penyakit-penyakit terdahulu seperti buah pinggang, talasemia dan kanser.

"Pesakit Covid-19 yang lanjut usia merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk menghidap anemia sekali gus memerlukan bekalan darah yang mencukupi.

"Bagaimana pun ia bergantung kepada indikasi pesakit tersebut, ada yang memerlukan satu hingga ke dua pint darah. Jumlah yang perlu diberikan kepada pesakit pula akan ditentukan oleh doktor yang merawat selain bergantung kepada berapa banyak kehilangan darah dialami oleh pesakit tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, individu yang pernah dijangkiti Covid-19 juga boleh menderma darah selepas 14 hari sembuh daripada virus berkenaan.

Katanya, mereka yang berada dalam kumpulan kontak rapat juga boleh berbuat demikian selepas tempoh kuarantin mereka selesai dan disahkan sihat.

Artikel Berkaitan:

"Bagi individu yang telah divaksin Covid-19 juga layak untuk menderma darah selepas tujuh hari divaksin tanpa sebarang kesan sampingan.

"Bagaimanapun, hanya penerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca sahaja dibenarkan setakat ini," katanya.

Justeru, orang ramai digalakkan untuk tampil menderma darah bagi memastikan stok bekalan darah berada pada paras optimum untuk dibekalkan kepada pesakit.

"Masyarakat tidak perlu bimbang untuk menderma darah dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, berikutan langkah pencegahan ketat diamalkan oleh Pusat Derma Darah untuk mencegah penularan pandemik Covid-19," jelasnya.