Tarik diri atau terus bersama PN

Seramai 16 Ahli Parlimen UMNO berada dalam Kabinet Muhyiddin memegang jawatan menteri dan timbalan menteri.
Seramai 16 Ahli Parlimen UMNO berada dalam Kabinet Muhyiddin memegang jawatan menteri dan timbalan menteri.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Kelmarin, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama, beliau juga kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan yang diberikan kepadanya sebelum ini.

Dengan pelantikan beliau itu, maka Malaysia kini mempunyai Timbalan Perdana Menteri, sekali gus mengakhiri tanda tanya siapakah yang layak memegang jawatan tersebut selepas dibiarkan kosong sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mac 2020.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Justeru, beliau dipertanggungjawabkan mengetuai Kluster Keselamatan, sekali gus menggantikan Ismail Sabri yang sebelum ini menyandang tugas berkenaan.

Pelantikan kedua-dua Menteri daripada UMNO yang berkuat kuasa serta-merta itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Pada hari sama, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga telah membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta selepas hampir lima jam bermesyuarat pada Rabu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan PN dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Sehubungan itu, wujud persoalan sama ada menteri dan timbalan menteri yang berada dalam Kabinet Muhyiddin akan meletakkan jawatan masing-masing atau sebaliknya.

Seramai 16 orang Ahli Parlimen UMNO kini berada dalam Kabinet PN yang mana sembilan daripadanya adalah menteri manakala tujuh yang lain pula merupakan timbalan menteri.

Persoalan semakin rumit apabila Naib Presiden parti itu baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ketetapan MKT UMNO itu seolah-olah memberi isyarat jelas kepada ahli Parlimen mereka yang berada dalam Kabinet PN supaya memilih parti keramat Melayu itu atau PN.

Selain menteri dan timbalan menteri, ketetapan tersebut juga sudah tentu akan memaksa Ahli Parlimen UMNO yang dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melepaskan jawatan masing-masing.

Sebelum ini, terdapat lebih kurang 12 Ahli Parlimen UMNO telah dilantik sebagai Pengerusi GLC kerana tidak dipilih menjadi menteri atau timbalan menteri.

Bagaimanapun, jumlahnya berkurang kepada 10 selepas seorang meletakkan jawatan manakala seorang lagi dilucutkan serta-merta.

Dalam pada rakyat menantikan tindakan seterusnya melibatkan ketetapan MKT UMNO itu, tiba-tiba Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membuka mulut memberi jaminan bahawa seramai 32 Ahli Parlimen UMNO menyokong kerajaan PN.

Beliau berkata, sokongan kesemua ahli Parlimen berkenaan bakal diterjemahkan dalam bentuk pengundian terhadap sebarang usul dikemukakan pada sidang Parlimen akan datang.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Padang Rengas itu enggan mendedahkan siapakah dalam kalangan ahli Parlimen yang dimaksudkannya itu.

“Kalau umum sekarang pun tidak guna. Kita akan buktikan sokongan kepada kerajaan PN dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut ketetapan MKT UMNO yang diumumkan pada Rabu, beliau berkata, kedudukan kerajaan PN tidak runtuh sekali pun UMNO telah membuat keputusan muktamad.

Sebaliknya, kedudukan kerajaan PN pada ketika ini terletak di tangan ahli Parlimen dan bukannya parti, tambahnya.

Katanya, sokongan tersebut adalah berdasarkan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang mana mereka menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen.

“Kalau ada yang berubah hati selepas keputusan MKT UMNO ini, Ahli Parlimen UMNO berkenaan mungkin terdiri daripada mereka yang mahu menarik sokongan seperti Dr Ahmad Zahid, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Tengku Razaleigh Hamzah.