Tebang pokok untuk elak pekebun haram masuki HSK Batu Talam

Mohd Hizamri Mohd Yasin
Mohd Hizamri Mohd Yasin
A
A
A

KUANTAN - Penebangan pokok durian musang king terpaksa dilakukan bagi mengelak pekebun haram memasuki semula kawasan penerokaan tanah di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, ini bagi mengelak kejadian ceroboh oleh pekebun haram untuk kembali mengurus kebun terbabit termasuk mengambil buah-buah durian di kawasan itu.

Menurut Mohd Hizamri, kawasan HSK Batu Talam luas dan pihaknya tidak mempunyai anggota yang cukup untuk mengawal selia kawasan terbabit selama 24 jam.

"Kalau kita tidak musnah (tebang) pokok, ia akan mengundang kehadiran semula pekebun ini. Jadi tebang adalah cara untuk hentikan terus aktiviti mereka secara keseluruhan.

"Kalau fikirkan memang sayang hendak tebang sebab pokok sudah ditanam 20 tahun, tapi kerana tugas, kita terpaksa berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penanaman pokok dan pemulihan hutan di Pahang bersama Wasco Coating Sdn Bhd di Gebeng pada Khamis.

Pada Ahad, tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menebang pokok durian musang king di kawasan seluas 101 hektar di HSK Batu Talam dipersoalkan oleh netizen kerana pokok durian sedang berbuah lebat itu ditebang begitu sahaja.

Kerja-kerja penebangan itu dilakukan dalam operasi penguatkuasaan di HSK Batu Talam, Raub sehingga menyebabkan penahanan 18 pekebun haram durian musang king di kawasan itu kerana melakukan provokasi.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun direman dan pada Selasa, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Mohd Hizamri memaklumkan, selepas kerja-kerja penebangan ini selesai, penanaman pokok hutan akan segera dilakukan di kawasan terbabit.

Jelasnya, bagi memudahkan kerja penanaman semula dilakukan, operasi musnah kebun itu dilakukan secara manual dan tidak menggunakan jentera berat.

"Di kawasan ini banyak cerun-cerun dan sungai, jadi penggunaan jentera berat akan menyebabkan pembukaan tanah dan air sungai di kawasan sekitar akan tercemar.

"Jadi, kita ambil keputusan untuk laksanakan penebangan secara manual, biar nampak kerja-kerja ini lambat, tetapi senang untuk kita menjalankan kerja pemulihan HSK Batu Talam selepas ini," ujarnya.

Ditanya mengenai rayuan pekebun untuk mengadakan rundingan dan memberhentikan operasi, Mohd Hizamri berkata, perkara itu masih belum diputuskan kerajaan Pahang.

Menurutnya, sehingga kini tiada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan Pahang dan operasi tetap diteruskan seperti dijadualkan.

"Kalau kerajaan Pahang suruh berunding, kita bersedia ke arah itu dan tiada masalah kerana sebagai jentera (jabatan) kerajaan, kita perlu ikut arahan ditetapkan," jelasnya.