Isu sampah Tok Bali: Kawasan kotor tanah milik persendirian

Video kawasan kotor yang dimuat naik oleh Hunny Madu merupakan kawasan persendirian
Video kawasan kotor yang dimuat naik oleh Hunny Madu merupakan kawasan persendirian
A
A
A

KOTA BHARU - Kawasan pantai Tok Bali yang tular dua hari lalu kerana dipenuhi sampah serta kotor merupakan tanah milik persendirian.

Sebelum itu video situasi itu dimuat naik di media sosial seorang penyampai radio dan penyanyi, Hunny Madu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr Izani Hussin berkata, bagaimanapun beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membersihkkan kawasan berkenaan.

"Tidak adil bagi kami untuk menularkan situasi di situ kerana ia merupakan kawasan persendirian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia Peringkat Negeri Kelantan pada Rabu.

Beliau memberitahu, terdapat dua lokasi di pantai Tok Bali iaitu kawasan pantai dan kawasan persendirian.

"Kawasan pantai itu diselenggara setiap hari manakala kawasan di sebelahnya dipenuhi rumput serta pokok kerana tidak dijaga dengan baik dan tiada pembangunan," katanya.

Tambah beliau, ada undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa mengenakan kompaun tetapi setakat ini kerajaan mengharapkan kerjasama pemilik tanah untuk bertanggungjawab.

Ketika ditanya mengenai kebakaran tapak pembakaran di Kampung Beris Lalang Bachok, beliau menjelaskan situasi itu tidak mengganggu operasi.

Menurut beliau, kebakaran bermula di kawasan tanah gambut bersebelahan tetapi anggota penyelamat sudah membina parit di sekeliling lokasi itu.

"Bagaimanapun masih ada percikan api di tapak pembakaran tetapi keadaan terkawal," katanya.