X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Utamakan urus Covid-19, dukung pelaksanaan PPN: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - Pas konsisten menyeru pemimpin dan rakyat meletakkan fokus utama negara untuk menguruskan pandemik Covid-19 ketika ini, kata Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, tumpuan sepenuhnya mesti diberikan bagi menjaga nyawa dan kelangsungan hidup rakyat, bahkan wajib tolong-menolong tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

“Pas juga menyeru rakyat keseluruhannya mesti bersama-sama mendukung Pelan Pemulihan Negara yang sedang dilaksanakan kerajaan.

"Semoga ALLAH SWT memberi tautan hati dan tindakan buat seluruh pemimpin, parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, seterusnya mengangkat wabak Covid-19 dari negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pas turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio sebagai Menteri Luar.

Tuan Ibrahim berharap pelantikan itu dapat mengukuhkan lagi perpaduan antara parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Perkembangan mutakhir politik negara menyaksikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi ini mengumumkan parti itu menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta atas alasan kerajaan gagal dalam tugasnya termasuk menangani wabak Covid-19.

Dalam mesyuarat secara maya selama lebih empat jam, Majlis Tertinggi Umno meminta Muhyiddin meletak jawatan bagi memberi laluan perdana menteri baharu dilantik, untuk memberi tumpuan kepada usaha menangani wabak Covid-19, sebelum mengembalikan semula mandat kepada rakyat setelah negara berjaya mencapai imunisasi kelompok.

Sementara itu, di Tumpat, Kelantan, Setiausaha Pas negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya mengambil maklum langkah UMNO itu dan sebarang ketetapan parti mengenainya akan ditentukan kemudian.

"Walaupun UMNO telah membuat keputusan tersebut, kita belum tahu bilangan Ahli Parlimen UMNO yang akan menarik sokongan," katanya ketika ditemui media pada Program Penyampaian Bakul Makanan Parlimen Tumpat, hari ini.

Pada program itu, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat menyerahkan peruntukan bernilai RM544,000 untuk melaksanakan program Bakul Makanan di kawasan parlimen itu. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!