Malaysia Prihatin kekal sebagai tema Hari Kebangsaan tahun ini

Tema Hari Kebangsaan tahun ini kekal seperti tahun lepas iaitu Malaysia Prihatin dan ia akan disambut secara sederhana. - Foto 123RF
Tema Hari Kebangsaan tahun ini kekal seperti tahun lepas iaitu Malaysia Prihatin dan ia akan disambut secara sederhana. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Tema Hari Kebangsaan tahun ini kekal seperti tahun lepas iaitu Malaysia Prihatin dan ia akan disambut secara sederhana, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata setiap tahun, terdapat tiga acara utama iaitu pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan sambutan Hari Malaysia.

Lazimnya, Kempen Kibar Jalur Gemilang bermula pada pertengahan Julai namun disebabkan pandemik Covid-19 yang sedang menular, ia ditangguh ke minggu pertama Ogos untuk diadakan di Kuala Terengganu dan jika keadaan tidak mengizinkan, ia akan dilancarkan di Putrajaya.

Saifuddin berkata, lokasi cadangan bagi sambutan Hari Kebangsaan buat masa ini ialah di Dataran Pahlawan, Putrajaya manakala Sabah International Convention Centre dicadangkan sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia.

"Banyak perkara masih tidak dapat diputuskan kerana kita menunggu saat akhir dari segi kapasiti, berapa orang boleh diundang dan berapa orang boleh menghadiri.

“Dari segi persiapan, sedang berjalan namun ada pelan A, B dan C bergantung kepada keadaan misalnya pada 31 Ogos nanti, walaupun tempat telah dipersetujui di Dataran Pahlawan namun adakah program berlangsung 40 minit atau dua jam, itu bergantung kepada keadaan semasa kes Covid-19," katanya kepada media selepas menghadiri libat urus secara maya Program Turun Padang Bersama Telekom Malaysia hari ini. -Bernama

Artikel Berkaitan: