Penghantaran Shopee tidak terjejas susulan pemeriksaan PDRM

Shopee komited untuk mematuhi sepenuhnya SOP sedia ada.
Shopee komited untuk mematuhi sepenuhnya SOP sedia ada.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Shopee memberi jaminan bahawa penghantaran bungkusan dari gudangnya tidak terjejas susulan pemeriksaan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini dan akan terus beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Dalam kenyataan pada Rabu, syarikat e-dagang itu berkata, ia komited untuk mematuhi sepenuhnya SOP sedia ada dan akan terus menguatkuasakan semua langkah pencegahan yang telah dilaksanakan sejak Mac 2020 untuk keselamatan pekerja barisan hadapan dan pembeli.

Menurutnya, langkah itu termasuk pembasmian kuman di gudang dan hab sebelum setiap syif, pemeriksaan suhu badan terhadap semua pekerja gudang dan penghantar Shopee Express sebelum memasuki premis dan/atau memulakan penghantaran serta penghantaran tanpa sentuh.

“Kami berharap kenyataan ini akan memberi penjelasan mengenai perkara ini dan pelanggan tidak perlu bimbang untuk mendapatkan keperluan anda dengan selamat di rumah,” menurut kenyataan itu.

Pada 3 Julai lepas, pasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menjalankan pemeriksaan pemantauan SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 49 lokasi berasingan dalam bidang kuasa mereka termasuk gudang Shopee di Shah Alam.

“Satu isu telah dikenal pasti di gudang kami. Ia disebabkan oleh kesalahfahaman SOP berkenaan pendaftaran pekerja sambilan harian dalam Sistem Pengurusan Pintar Covid​-19 (CIMS). Akibatnya, Shopee telah disaman RM10,000,” katanya.

Menurut Shopee, ia telah bertindak segera mengikut arahan dan akan memastikan kejadian seumpama itu tidak akan berulang. - Bernama

Artikel Berkaitan: