X

Kindly register in order to view this article
!

Indonesia talian hayat dua wakil negara

Barisan pemain TFC giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi kempen Piala AFC musim ini.
A
A

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) mungkin masih boleh beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini jika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membenarkan Indonesia menjadi tuan rumah.

Ia berikutan pendirian Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang masih berminat untuk menjadi tuan rumah selepas Singapura menarik diri pada bulan lalu.

“PSSI tetap berharap untuk menjadi tuan rumah tapi masih menunggu perkembangan pandemik Covid-19 di Indonesia,” kata Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi seperti dipetik daripada portal Indonesia, Skor.id pada Selasa.

Terdahulu, AFC mengumumkan kemungkinan akan membatalkan empat saingan kumpulan Piala AFC 2021 selepas Singapura yang sepatutnya menjadi tuan rumah Kumpulan H dan I menarik diri ekoran krisis pandemik Covid-19.

Namun, harapan Indonesia yang mempunyai dua wakil - Bali United (Kumpulan G) dan Persipura Jayapura (Kumpulan H) dilihat mungkin tidak dapat direalisasikan susulan kes pandemik Covid-19 di negara itu agak membimbangkan.

AFC akan menunggu sehingga Rabu untuk mendengar tawaran daripada negara yang sedia menganjurkan Piala AFC dan jika tiada yang berminat, maka kemungkinan besar aksi Kumpulan D, G, H dan I akan dibatalkan.

Dalam pada itu, AFC dalam kemas kini terbaharu mengumumkan untuk memasukkan dua kelab dalam Kumpulan I selepas Kaya FC layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Dua kelab tersebut ialah Isakha dari Kemboja dan Lalenok United (Timor Leste) yang bakal melengkapkan kuota Kumpulan I yang turut menampilkan TFC dan wakil Singapura, Geylang International.

KDA FC pula berada dalam Kumpulan H yang membabitkan kelab Singapura, Singapore Lion City Sailors; Saigon (Vietnam) dan Persipura Jayapura.

Difahamkan, Kemboja dan Timor Leste turut ditawarkan untuk menjadi tuan rumah bagi peringkat kumpulan tersebut dengan tempoh akhir membuat keputusan adalah pada petang Rabu.

“Sekiranya kedua-dua negara itu berminat, perlawanan Kumpulan I akan diteruskan mengikut jadual asal. Sebab itu saya beritahu semalam (Isnin), apa-apa tunggu pengumuman rasmi,” jelas Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!