Kerajaan salur RM15.67 bilion Program Subsidi Upah: Perkeso

Mohammed Azman
Mohammed Azman
A
A
A

KERAJAAN telah menyalurkan sebanyak RM15.67 bilion di bawah Program Subsidi Upah (PSU) yang memberi kemudahan kepada 2.74 juta pekerja dan 333,533 majikan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, semua sektor telah mendapat manfaat daripada program ini bermula daripada PSU 1.0 hingga PSU 3.0.

Selepas pengumuman PSU 4.0, jumlah peruntukan untuk program itu dijangka meningkat kepada RM15.82 bilion, katanya pada sidang media hari ini.

Permohonan PSU 4.0 akan dibuka mulai 1 Ogos hingga 30 Oktober 2021, pembayaran akan bermula pada November 2021 hingga Februari tahun 2022.

"Majikan boleh memohon subsidi sebanyak RM600 sebulan untuk semua pekerja tempatan tanpa had gaji, terhad kepada 500 pekerja bagi satu perusahaan.

"Di bawah PSU 4.0, majikan juga diminta untuk memasukkan maklumat subsidi dalam slip gaji pekerja," katanya.

Mohammed Azman berkata, bagi dua bulan pertama mulai 1 Ogos, 2021, PSU 4.0 akan dibuka kepada majikan di semua sektor ekonomi yang pendapatannya terjejas sekurang-kurangnya 30 peratus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk dua bulan berikutnya, subsidi akan diberikan secara khusus kepada sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.8 bilion untuk PSU 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan 242,000 majikan di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: