Lesen memandu lulus tanpa ujian!

Sindiket menggunakan logo JPJ bagi menyakinkan orang ramai.
Sindiket menggunakan logo JPJ bagi menyakinkan orang ramai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya dengan membayar sejumlah wang mengikut kategori lesen dikehendaki, orang ramai berpeluang mendapatkan lesen memandu secara pos tanpa melalui sebarang ujian.

Tawaran itu diberikan oleh sindiket lesen memandu secara haram yang mendakwa ia didaftarkan secara terus di dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tawaran yang dibuat melalui media sosial itu sudah tentu boleh memerangkap orang ramai yang terdesak mahu membuat lesen memandu dengan cara yang mudah dan bayaran yang murah.

Untuk menarik mangsa, sindiket tersebut menggunakan modus operandi iaitu menawarkan lesen tanpa perlu mengikuti kelas memandu atau ujian oleh JPJ.

Mangsa hanya perlu memberikan gambar, dokumen dan maklumat peribadi serta membayar kos ditetapkan, sebelum mereka boleh mendapat lesen memandu pasaran gelap itu dalam masa tiga hingga lima hari.

Sindiket terbabit mendakwa lesen yang diperolehi adalah sah dan maklumat pelanggan akan dimasukkan ke dalam sistem JPJ bagi memudahkan urusan memperbaharui dokumen berkenaan dibuat setelah tamat tempoh.

Bagi mendapat kepastian, wartawan Sinar Harian bertindak menghubungi salah satu nombor tertera pada iklan di laman media sosial berkenaan, bagaimanapun tiada maklum balas.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati sebanyak 11 kelas lesen yang ditawarkan pada harga RM350 hingga RM750.

Artikel Berkaitan:

Pemohon hanya perlu menyertakan salinan kad pengenalan depan dan belakang dan alamat lengkap untuk tujuan pengeposan.

Difahamkan, taktik sindiket terbabit sebelum ini sudah didedahkan, namun ia tidak menjejaskan mereka, malah terus mempromosikan lesen terbang di media sosial.

Sindiket itu dilihat kali terakhir memuat naik tawaran tersebut pada 8 Mei lalu.

JPJ tubuh jawatankuasa khas

Sementara itu, JPJ dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian mengesahkan menerima aduan orang awam berhubung kesahihan lesen memandu terbang itu.

Iklan lesen memandu tanpa perlu menjalani ujian yang ditawarkan di media sosial.
Iklan lesen memandu tanpa perlu menjalani ujian yang ditawarkan di media sosial.

"Antara kaedah atau medium media sosial yang digunakan oleh sindiket tersebut ialah melalui WhatsApp, Facebook, Instagram dan laman sesawang.

"JPJ menegaskan bahawa sebarang lesen memandu yang dikeluarkan tanpa mengikut prosedur latihan dan pengujian yang telah ditetapkan oleh kerajaan adalah tidak sah," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa berdasarkan statistik, JPJ merekodkan sebanyak 187 kes aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi tahun 2018 hingga tahun lalu melibatkan lesen palsu.

"Manakala bagi Januari sehingga Jun 2021 merekodkan jumlah 40 kes aduan melibatkan isu pengiklanan lesen memandu secara tidak sah," katanya.

Difahamkan, JPJ melalui Bahagian Pelesenan Pemandu dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah menyelaras satu penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani isu-isu melibatkan jenayah siber di antara kedua-dua agensi terbabit.

"Penubuhan jawatankuasa khas ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menentukan tindakan agensi dalam mencari jalan penyelesaian bagi membendung isu jenayah siber yang kian menular melalui media sosial," katanya.

JPJ memaklumkan, fungsi Jawatankuasa itu ditubuhkan adalah untuk menyalurkan maklumat kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

JPJ turut memaklumkan, satu Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman (JKSD) di peringkat jabatan turut diwujudkan bagi menangani isu dan aktiviti pengeluaran lesen memandu yang dikeluarkan secara tidak sah.

"Hasil siasatan mendapati kebanyakan laporan yang diterima adalah melibatkan kes penipuan yang mana di luar bidang kuasa JPJ dan perlu disalurkan untuk tindakan di peringkat Jawatankuasa Khas Menangani Isu Jenayah Siber antara JPJ dan PDRM," katanya.

Menurut kenyataan JPJ lagi, sektor latihan pemanduan tidak dibenarkan beroperasi buat masa ini merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Mei lalu.

"Oleh demikian, tiada sebarang latihan dan ujian dibenarkan dijalankan oleh pihak industri sama ada institut memandu, sekolah memandu, e-hailing Operator (e-HO) dan pusat e-khidmat dalam usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya pengoperasian sektor latihan pemanduan dibenarkan beroperasi semula, ia adalah tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan ] Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, dari segi prosedur pengambilan lesen memandu adalah sepertimana yang ditetapkan sebelumnya iaitu calon masih perlu menjalani kursus teori KPP, ujian Undang-Undang Jalan Raya (Bahagian 1), latihan praktikal litar (KPP02) dan jalan raya (KPP03) mengikut kelas lesen yang dipohon,'' katanya.

Lesen tanpa ujian tidak sah

JPJ memaklumkan Seksyen 29 (1)(a) menyebut sesuatu lesen memandu tidak boleh diberikan kepada mana-mana pemohon, melainkan jika ia memuaskan hati Pengarah dengan memegang lesen percubaan selama tempoh dua tahun dan membuat permohonan dalam tempoh selepas habis tempoh itu.

"Merujuk Kaedah 3 di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992 menyatakan seseorang pemohon bagi lesen belajar memandu, lesen memandu percubaan dan lesen hendaklah memohon dalam borang JPJL1 (Permohonan bagi lesen memandu kenderaan motor)," katanya.

Menurut kenyataan itu, pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang didapati memandu atau menunggang tanpa lesen memandu boleh dikenakan tindakan kompaun maksimum sebanyak RM 300 mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu, pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen memandu turut berdepan dengan risiko pendakwaan di mahkamah sekiranya tidak dapat menyelesaikan kompaun dalam tempoh ditetapkan.

"Tindakan saman juga akan dikenakan ke atas pemilik kenderaan di atas kesalahan membenarkan pemandu, penunggang kenderaan memandu atau menunggang kenderaan milik mereka tanpa lesen memandu," katanya.

Jangan terpengaruh

JPJ turut menasihati orang ramai untuk membuat semakan dengan pihak JPJ bagi mengelakkan diri ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atau scammer.

"Mana-mana pihak yang didapati memegang lesen memandu tanpa mengikut prosedur ditetapkan akan dipanggil temu siasat mengikut Seksyen 114, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 108 APJ 1987 iaitu hukuman minimum denda RM5,000 atau penjara atau kedua-dua sekali," katanya.

"Orang ramai boleh membuat aduan di (SISPAA) jpj.spab.gov.my, aduantrafik@jpj.gov.my, aduanintegriti@jpj.gov.my

"Semakan lanjut aduan akan dibuat oleh JPJ dengan kerjasama PDRM," kata kenyataan itu lagi.