X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Remaja berisiko tinggi diutamakan ambil suntikan Pfizer

Dr Adham pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Remaja yang mempunyai penyakit kronik disyorkan untuk diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Kumpulan Teknikal Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menurut beliau, mereka yang mempunyai penyakit kanser, daya imun yang rendah serta comobidity dinasihatkan oleh pakar agar mendapat manfaat daripada suntikan Pfizer.

"Data keberhasilan percubaan klinikal yang sedang dijalankan oleh Pfizer-BioNTech di beberapa negara mendapati vaksin Comirnaty adalah berisiko rendah kepada golongan itu.

"Golongan remaja berisiko ini akan diberi perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan meneliti data klinikal yang dikeluarkan," katanya dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Isnin.

Kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 18 tahun ke atas boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera sejak 21 Jun lalu.

Sebelum ini, MySejahtera hanya membenarkan keluarga mendaftarkan tanggungan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Sementara itu, ditanya mengenai dos yang akan diberikan kepada golongan itu, Dr Adham berkata, ia berbeza dengan sukatan dewasa.

"Ia akan mengambil kira data tahap umur dan berat badan penerima," katanya.

Tambah beliau, seramai 122,385 kes positif Covid-19 melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak berusia kurang 18 tahun ke bawah sejak 25 Januari sehingga 4 Julai lalu.

"Daripada jumlah itu, terdapat 30,667 kes membabitkan bayi sehingga usia empat tahun dan 12,696 kes kanak-kanak berumur lingkungan lima hingga enam tahun.

"Seramai 40,173 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun turut dijangkiti Covid-19, manakala selebihnya, 38,849 merupakan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, keputusan dibuat JKJAV itu bagi melindungi kanak-kanak dan remaja yang mempunyai masalah kesihatan.

"Pada minggu lalu, Dr Adham, Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan saya diberikan taklimat yang agak panjang lebar oleh kumpulan pakar bawah JKJAV yang diketuai oleh Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr P Kalaiarasu.

"Kami mengambil pendirian untuk lebih berhati-hati dalam pemberian vaksin terhadap remaja," katanya.

Menurutnya, mesyuarat juga bersetuju untuk memberi suntikan e kepada kakitangan sekolah, pemandu bas sekolah, selain guru sebagai persediaan pembukaan sekolah.

"Imunisasi bagi kanak-kanak sihat lain akan dilakukan selepas selesai vaksinasi golongan dewasa pada fasa tiga PICK," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!