Dulu juruterbang, sekarang penjual durian

Mohd Al-Firdaus menjual durian jenis musang king, XO dan D24 di Taman Cyberjaya, Selangor setelah dibuang kerja sejak setahun lalu
Mohd Al-Firdaus menjual durian jenis musang king, XO dan D24 di Taman Cyberjaya, Selangor setelah dibuang kerja sejak setahun lalu
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu, pendapatan rakyat mulai terjejas sehingga ada yang diberhentikan kerja kerana pelbagai faktor.

Turut terkesan seorang bekas juruterbang syarikat penerbangan Saudi Airlines, Mohd Al-Firdaus Mohd Sultan, 35, yang dibuang kerja sejak setahun lalu.

Menurutnya, selepas diberhentikan kerja, dia membuat keputusan menjual durian jenis musang king, XO dan D24 di Taman Cyberjaya, Selangor disebabkan minatnya terhadap raja buah itu.

“Buat masa ini tidak banyak syarikat penerbangan yang membuka jawatan kosong bagi jawatan juruterbang.

“Jadi saya terpaksa berniaga buah untuk meneruskan hidup dan menyara keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Al-Firdaus terpaksa berniaga buah untuk meneruskan hidup dan menyara keluarga.
Mohd Al-Firdaus terpaksa berniaga buah untuk meneruskan hidup dan menyara keluarga.

Mohd Al-Firdaus mengakui penularan wabak Covid-19 sejak tahun lalu memberi impak sangat besar terhadap kehidupannya dan berniaga durian cukup sekadar untuk menampung kehidupan seharian sahaja.

“Kehidupan sekarang memang berbeza dan tidak dapat dibandingkan ketika bergelar juruterbang dulu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikutkan untuk tampung komitmen lain, terus terang mustahil dan saya hanya mengharapkan moratorium daripada kerajaan untuk urusan kereta serta rumah.

“Sebelum ini, saya bukanlah hidup mewah tapi serba cukup dan boleh melancong ke luar negara tetapi keadaan sekarang memerlukan saya untuk sentiasa menyemak tanda harga sebelum membeli barang keperluan,” ujarnya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu bersyukur kini dia dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga walaupun ada masanya dia penat kerana perlu menyesuaikan diri dengan kerjaya barunya.

“Awal pagi saya perlu ke kebun membeli buah dan seterusnya memasukkan barang ke dalam trak sebagai persiapan berniaga.

“Kemudian malam pula saya akan mengupas baki durian yang tidak terjual, masukkan ke dalam bekas untuk dihantar kepada pelanggan keesokan hari.

“Sudah tiga musim durian saya berniaga. Alhamdulillah ada rezeki ALLAH SWT walaupun tidak banyak,” katanya.

Ramai individu yang terkesan akibat daripada Covid-19 sehingga memaksa mereka mencari pelbagai alternatif untuk meneruskan kehidupan.

Sebelum ini ramai yang menjawat jawatan tinggi dan mempunyai kerjaya yang menjana pendapatan yang tinggi, namun kini segalanya sudah hilang.

Bagaimanapun, ramai yang tidak berputus asa dan bangkit semula dengan melakukan pelbagai pekerjaan.

Dengan kerjaya baharu yang diceburi, beberapa individu melihat bahawa terdapat hikmah daripada musibah yang melanda.

Mereka yang tidak berputus asa itu kini mempunyai kemahiran baharu yang dapat mengembalikan semula semangat untuk terus hidup.