X

Kindly register in order to view this article
!

Kapten Fidzry kini penggubah bunga

Fidzry dari awan biru kini ke bidang gubahan bunga.
A
A

SHAH ALAM - Walaupun masih berkhidmat, juruterbang sebuah syarikat penerbangan tambah murah tetap gigih mencari rezeki meskipun amat berbeza dengan bidang kerjaya sebelum ini.

Daripada kokpit pesawat, Fidzry Mohamad, 32, kini mengusahakan Crafty Decor, yang menjual gubahan bunga perhiasan ​bersama isterinya, Faradiana Abdul Majid, 31.

“Bagi menampung kestabilan syarikat, pelbagai langkah drastik telah dilaksanakan daripada pemotongan gaji sehinggalah ke pemberhentian pekerja.

“Alhamdulillah saya masih dikekalkan dalam syarikat, cuma mengalami pemotongan gaji,” katanya.

Fidzry bersama isteri menguruskan Crafty Decor.
Fidzry bersama isteri menguruskan Crafty Decor.

Fidzry Mohamad menyertai syarikat penerbangan tersebut sebaik tamat pengajian di Integrated Aviation Academy, Ipoh pada tahun 2012 sebelum dinaikkan pangkat sebagai kapten pada tahun 2017.

“Saya langsung tidak menduga cabaran yang terpaksa dilalui sekarang ini. Pandemik telah mengubah hidup kita 360 darjah,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Sebelum memulakan Crafty Decor, pasangan suami isteri itu pernah menjalankan perniagaan kecil seperti menjual mi kari dari rumah ke rumah bagi menambah pendapatan.

“Bermula dengan menjual kepada kenalan rapat, alhamdulillah kami berjaya mendapat pelanggan hingga ke Nilai. Tetapi apabila sekatan perjalanan diperketatkan sekitar Ogos 2020, perniagaan kami mulai perlahan.

“Keadaan bertambah teruk pada akhir 2020, syarikat telah membuat keputusan untuk memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja termasuk saya,” katanya.

Menurutnya, setelah berbincang dengan isteri dan keluarga, Fidzry mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan sepenuh masa.

Berbekalkan sedikit modal, Fidzry mengembangkan lagi perniagaan hiasan dalaman milik ibunya dengan menjadikan sebuah kediaman di Taman Cahaya Alam Seksyen U12, Shah Alam sebagai galeri.

“Syarikat ini bermula secara kecil-kecilan atas dasar minat ibu dalam dunia hiasan dalaman khususnya gubahan bunga. Boleh buka Facebook Crafty Decor untuk melihat koleksi bunga gubahan kami,” katanya.

Fidzry bersama isteri dan dua anaknya.
Fidzry bersama isteri dan dua anaknya.

Menurutnya, Crafty Decor turut menjual gubahan bunga perhiasan mampu milik dengan pilihan yang pelbagai dan mempunyai gubahan siap serta sedia menerima tempahan bagi menepati cita rasa pelanggan.

“Semasa bulan Ramadan yang lepas, kami mendapat tempahan hamper sempena Hari Raya Aidilfitri dan berjaya menjual lebih 500 buah hamper. Saya ajak kawan-kawan bantu buat penghantaran kepada pelanggan,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu lagi.

Fidzry tidak berasa kekok untuk memulakan perniagaan gubahan bunga itu kerana sejak remaja, dia sering membantu ibunya mengendalikan bisnes itu jika ada masa terluang.

“Sebagai seorang juruterbang, saya biasa bekerja secara sistematik dengan perancangan yang rapi.

“Menyesuaikan diri dan menyelesaikan masalah dalam masa yang singkat sedikit sebanyak membantu saya menyesuaikan diri dalam dunia perniagaan ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!