Petugas menari sekadar untuk hilangkan penat

Rakaman video sekumpulan petugas lengkap memakai PPE menari di Pangsapuri Sri Ayu Seksyen 4, Bandar Baru Bangi pada Jumaat.
Rakaman video sekumpulan petugas lengkap memakai PPE menari di Pangsapuri Sri Ayu Seksyen 4, Bandar Baru Bangi pada Jumaat.
A
A
A

HULU LANGAT - Tiada niat untuk mencuri perhatian, sebaliknya tindakan sekumpulan petugas lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sedang rancak menari sekadar untuk menghilangkan keletihan selepas seharian bertugas.

Pegawai Penerangan Daerah Hulu Langat, Hafizan Hamzah berkata demikian mengulas video tular yang dikongsikan di Facebook Pusat Maklumat Rakyat Pejabat Daerah Hulu Langat pada Sabtu.

Video tersebut memaparkan petugas rancak menari hingga menarik perhatian penghuni Pangsapuri Sri Ayu Seksyen 4, Bandar Baru Bangi yang terhibur dan memberikan sorakan.

Hafizan berkata, rakaman itu diambil pada Jumaat lalu ketika penugasan di pangsapuri berkenaan yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya, perkongsian tersebut mendapat maklum balas positif, bagaimanapun terdapat segelintir pihak mengecam kerana kurang senang dengan perlakuan petugas tersebut.

"Ia adalah tindak balas spontan ketika petugas mendengar muzik yang dipasang.

Kebetulan ketika itu sudah di hujung waktu bertugas dan kesemuanya keletihan, jadi apabila dengar muzik, terus jadi ceria.

"Ia untuk menghilangkan tekanan kerja memandangkan pangsapuri ini adalah lokasi ketiga di Hulu Langat yang dikenakan PKPD selepas Sungai Lui dan Hentian Kajang.

Artikel Berkaitan:

Jadi tidak perlu ambil serius dan ambil negatif mengenai video itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Hafizan berkata, petugas tersebut terdiri daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta lain-lain yang ditugaskan untuk menyelaras ujian saringan kepada penduduk.

Beliau bagaimanapun tidak menyangka video tersebut menjadi tular kerana tujuan dimasukkan di media sosial sekadar perkongsian kepada orang awam yang mengikuti perkembangan skop tugas di lapangan.

"Video tular itu juga mendapat reaksi positif daripada pakar perubatan yang menganggapnya sebagai 'psikologi first aid'.

Ada juga melahirkan penghargaan dan mendoakan keselamatan petugas.

"Bukan hanya muzik dipasang di kawasan itu, ada juga yang memasang doa dan hebahan.

Kelebihan di kawasan itu ialah kami buat hebahan menggunakan bahasa asing memandangkan pangsapuri itu turut dihuni warga Indonesia dan Myanmar," ujar beliau.