Normalisasi yang abnormal

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MEMANG benar zaman dahulu berbeza dengan hari ini. Perkara yang mungkin suatu ketika dahulu janggal, kini tidak lagi kita berasa sedemikian.

Perubahan itu perlu bagi masyarakat mengadaptasi kepada dunia hari ini. Ia menjadi lebih lumrah khususnya apabila masyarakat tidak lagi berada di dalam kepompongnya sendiri tetapi sudah melata di segenap pelosok dunia.

Tamsilan paling mudah – semasa zaman kanak-kanak saya, ibu akan memarahi anak-anak mereka jika memakan ayam goreng begitu sahaja.

Ia lazimnya dimakan bersama nasi dan juadah lain tetapi kini ia sudah menjadi norma lazim masyarakat kita.

Malah, terdapat pelbagai restoran makanan termasuk makanan segera yang menyajikan ayam goreng dalam menu mereka begitu sahaja.

Normalisasi sebegini bukan hanya berlaku dalam aspek amalan sesuatu masyarakat tetapi juga diterapkan dalam istilah dan perbahasaan setempat.

Objektif normalisasi istilah dan perbahasaan mungkin pelbagai tetapi kadangkala ia akan mengubah arah pemikiran masyarakat.

Dari aspek agama contohnya, dahulu kita sudah maklum masjid adalah tempat beribadat bagi orang Islam, tokong bagi orang Buddha, kuil bagi yang beragama Hindu, Gurdwara bagi orang Sikh dan gereja bagi orang Kristian.

Artikel Berkaitan:

Kini semua itu dilazimi dengan istilah ‘rumah ibadat’. Dahulu kita kata orang Islam bersolat, orang Hindu sembah berhala dan lain-lain lagi.

Kini semuanya diistilahkan sebagai bersembahyang dan lebih terkini orang bukan Islam mahu menggunakan kalimah ‘solat’ pula dalam upacara keagamaan mereka.

Natijahnya, kita sudah tidak mengetahui agama seseorang apabila beliau mengatakan mahu bersembahyang di rumah ibadatnya.

Dari aspek sosial, dahulu persundalan adalah pekerjaan yang keji dan tidak disukai, ia menerobos nilai-nilai agama dan adat ketimuran kita.

Ia disanggah masyarakat tetapi istilah persundalan mahu dinormalisasikan agar lebih diterima masyarakat dengan mengubahnya kepada ‘pekerja seks’.

Mungkin mereka fikir dengan ‘menuetralkan’ istilah itu, persundalan boleh diterima masyarakat Malaysia.

Begitu juga istilah pondan, maknyah dan lain-lain yang ingin diubah dengan istilah seperti transgender dan lain lain.

Dengarnya, mereka mahu mengelak diskriminasi kepada golongan berkenaan tetapi objektif lebih utama sebenarnya mahu mengubah nilai masyarakat kita dengan memberikan pengiktirafan kepada perkara bercanggah dengan agama dan budaya bangsa.

Bahasa Melayu

Contoh lain seperti bahasa kebangsaan yang sedari dahulu kita tahu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ialah bahasa Melayu.

Usaha dilakukan untuk meminda nama bahasa kebangsaan ini kepada bahasa Malaysia dengan harapan orang bukan Melayu berminat bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Namun, objektif itu menemui kegagalan kerana kini bukan sahaja sebahagian orang bukan Melayu tidak fasih berbahasa kebangsaan tetapi ada juga dalam kalangan orang Melayu yang tidak bertutur dalam bahasa kebangsaan atau mengutamakan bahasa lain.

Hal itu disebabkan bukanlah istilah itu sahaja yang boleh menarik minat orang lain bertutur dalam bahasa kebangsaan tetapi program bersepadu hendaklah dilakukan ke arah memupuk minat tersebut dan pelaksanaannya diberikan perhatian oleh kerajaan.

Berbalik kepada isu normalisasi suatu yang abnormal suatu ketika dahulu, ia tidak semestinya akan membawa kebaikan kepada negara.

Menerima istilah baharu perlulah disesuaikan dengan keadaan setempat dan budaya leluhur.

Dalam membentuk jati diri negara, kita perlu pertahankan apa yang sudah diamalkan selama ini.

Kita hanya baiki kepincangan yang ada bukan mendatangkan perkara baharu yang mungkin tidak sesuai dengan acuan negara.

Apatah lagi sekiranya ia sesuatu yang diimport dari luar dihasratkan untuk disemai di bumi Malaysia.

Kita perlu teliti dalam segala aspek apabila berhasrat untuk menormalisasi sesuatu perkara sama ada dari sudut budaya, sosial mahupun perkataan.

Akhirnya timbul pula persoalan, adakah menamakan semula Pemberi Pinjam Wang kepada Kredit Komuniti bermatlamatkan normalisasi juga?

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia