Beratus ribu akan hilang pekerjaan jika industri ini tidak dibuka...

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KHABARNYA 500,000 orang dikhuatiri akan kehilangan pekerjaan seandainya pusat membeli-belah dan outlet peruncitan yang lain tidak dibuka kembali seperti sediakala menjelang pertengahan bulan ini.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Pusat Membeli-Belah Malaysia, Tan Sri Teo Chiang Kok. Tahun lalu, beliau menganggarkan industri membeli-belah kerugian melebihi RM1 bilion kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Angka-angka ini semua membimbangkan dan yang paling ditakuti apabila para majikan tidak dapat lagi menampung kerugian dan terpaksa memberhentikan kakitangan mereka.

Apabila ini terjadi, ia akan mengakibatkan kesan domino ke atas ekonomi negara kita.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi ingatan bahawa lockdown, sebagaimana yang sedang kita semua lalui sekarang bukanlah jalan penyelesaian tunggal kepada permasalahan Covid-19.

Ini kerana kesannya ke atas ekonomi sangat dahsyat dan sukar untuk dibaiki semula.

Dalam konteks ini, perlu ada pendekatan yang fleksibel untuk menangani pandemik Covid-19 dan cara-cara untuk melaksanakannya.

Yang menjadi keresahan ramai adalah apabila lockdown tidak juga membawa kepada penurunan kes harian, malah angka itu semakin meningkat pada hari-hari tertentu.

Artikel Berkaitan:

Tetapi pada masa yang sama, ada juga yang berhujah, seandainya tiada lockdown, jumlah kes harian akan berlipat kali ganda dan ia akan memberi tekanan kepada pasukan barisan hadapan negara termasuklah para doktor dan jururawat.

Kita berada di persimpangan jalan sebenarnya.

Sementara kita perlu menerima hakikat yang virus ini akan terus berada di sekeliling kita untuk satu jangka waktu yang panjang, kita juga pada masa yang sama perlu terus bergerak ke hadapan dan tidak boleh selama-lamanya berada dalam suasana PKP sepanjang masa.

Bayangkan, dalam industri peruncitan dan pusat membeli-belah, pasar raya dan gedung perniagaan sahaja terdapat lebih 500,000 pekerja yang kini kerjaya dan masa depan mereka sedang terancam.

Bagaimana pula dengan sektor-sektor lain? Yang kelihatan terselamat dan terjamin setakat hari ini hanyalah kakitangan kerajaan sahaja.

Yang lain-lain tiada satu pun terjamin. Bila-bila masa sahaja apabila rizab tunai kekeringan, mereka ini akan menerima notis pemberhentian kerja.

Pemain-pemain industri sebenarnya khuatir, mereka tidak dapat memulihkan perniagaan yang semakin tenat akibat pandemik, sekali gus memusnahkan rantaian nilai dan ekosistem yang sedia ada.

Sektor peruncitan menyumbang sekitar 34.6 peratus kepada GDP Malaysia. Tauke Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin sendiri menegaskan, cara pelaksanaan PKP itu yang menjadi isu sekarang, bukannya PKP itu sendiri.

Tegasnya, seluruh negara kini telah menyaksikan berkibarnya bendera putih di rumah-rumah kediaman. Negara tidak mampu untuk melihat selepas ini bendera putih pula berkibar di pusat-pusat membeli-belah dan pasar-pasar raya.

Jika ini terjadi, ia adalah petanda buruk untuk negara.

Belalang - Hanya tunggu masa untuk terbang...