Dilema seorang sahabat...

No Image Caption
A
A
A

SEORANG kawan yang Belalang kenali kini berada di dalam dilema kerana dia bukan seorang Muslim tetapi ingin mengahwini seorang lelaki Muslim.

Dia sudah mengenali jejaka Muslim ini empat tahun yang lalu. Dia menyifatkan teman lelakinya itu sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab, budiman dan sangat menghormati orang lain.

Dia bukan sahaja terpesona dengan budi pekerti teman lelakinya itu malah beranggapan lelaki itu memenuhi ciri-ciri yang dicari sebagai teman hidup.

Cuma dia berhadapan dengan satu cabaran besar iaitu menukar agama kepada seorang Islam.

Cabaran terbesarnya ialah bagaimanakah untuk meyakinkan ahli keluarganya yang dia perlu memeluk Islam sebelum mengahwini jejaka pilihannya itu.

Keluarga dia tidak menentang teman lelakinya itu tetapi mereka ada rasa curiga atau sangsi apa akan jadi dengan hubungan mereka anak beranak seandainya dia memeluk agama Islam.

Misalnya, kata kawan Belalang itu, apakah mereka masih boleh duduk semeja menikmati makan malam atau tengah hari jika ia diadakan di sebuah restoran tidak halal.

Atau apakah mereka masih boleh meraikan Tahun Baru Cina dengan hidangan makanan dan minuman tidak halal di meja makan.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga khuatir apa akan jadi dengan harta sepeninggalan mereka untuk dia kongsi dengan adik-adiknya yang lain jika dia telah memeluk agama Islam.

Mereka tertanya-tanya apakah harta sepeninggalan nanti akan tertakluk kepada undang-undang syariah atau sistem faraid.

Belalang faham keresahan yang melanda kawan Belalang itu dan seisi keluarganya.

Kepada sesiapa sahaja, memasuki satu dunia baru adalah cabaran paling besar yang terpaksa mereka hadapi apatah lagi dalam kes ini ia melibatkan masa depan dan juga keluarga baru yang bakal dibina olehnya dan bakal suaminya.

Belalang telah menasihatinya agar dia berfikir sedalam-dalamnya apa juga keputusan yang bakal diambilnya.

Ini kerana ia melibatkan masa depan diri dan keluarganya. Adalah jauh lebih baik jika dia memeluk Islam kerana cintanya kepada agama bukan kerana dia perlu melakukannya atas dasar perkahwinan.

Jika dia memeluk Islam atas kerelaan hatinya dan kerana dia merasakan Islam itu memberi cahaya dalam hidupnya itu akan memberikannya kekuatan dan kefahaman yang lebih baik untuk dia menjelaskan keputusannya itu kepada ahli keluarga.

Belalang juga menasihatinya supaya membuat kajian yang lebih mendalam tentang Islam dan bertanya dengan orang yang jauh lebih arif seperti seorang ulama atau imam. Mungkin teman lelakinya boleh menghulurkan bantuan dan membuka laluan kepadanya.

Apa pun keputusan adalah di tangannya.

* Belalang - Sekadar mampu memberi nasihat dan panduan.