X

Kindly register in order to view this article
!

FOMCA, PPIM sambut baik langkah baharu hapus tol

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Beberapa persatuan pengguna menyambut baik langkah kerajaan mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisme kutipan tol dan digantikan dengan kaedah lain.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, langkah tersebut merupakan satu usaha penting untuk menghapuskan sepenuhnya tol di negara ini.

"Fomca mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menunaikan janji namun kebimbangan utama kami ialah penyelengaraan lebuhraya terus dilakukan supaya tidak menjejaskan pengguna," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisma kutipan tol.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri rundingan itu ia membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Dengan kejayaan pengambilalihan itu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada, dan sebagai ganti caj kesesakan akan diperkenalkan.

Melalui inisiatif yang akan diperkenalkan itu, pengguna lebuh raya hanya akan dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Kadar tol akan dihapuskan sama sekali pada waktu ‘off-peak’ antara iaitu jam 11 malam dan 5 pagi yang mana penggunaan lebuh raya adalah percuma dan pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada harga barang akan turun, Mohd Yusof berkata, pelaksanaan mekanisme baharu itu tidak melibatkan lebuhraya yang utama iaitu Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

"Kemungkinan akan ada sedikit sahaja impak daripada pelaksaan kaedah baharu ini namun tidak begitu besar melainkan ia turut diperluaskan kepada PLUS," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah kerajaan adalah permulaan untuk mengotakan janji kepada rakyat di negara ini yang mengharapkan agar tol dihapuskan sepenuhnya.

"Kita alukan langkah ini cuma sebagai pengguna kita mahu kemudahan ini ditambah dan kalau diikutkan janji kerajaan lebih banyak lagi tapi tidak apa ini permulaaan langkah kerajaan mengotakan janji namun pengguna kita juga kena faham juga sebab hendak hapuskan tol ini bukan mudah," jelas beliau.

Mengenai penurunan harga barang, beliau berkata, peniaga di negara ini tidak akan berbuat demikian dan diibaratkan seperti kucing memanjat pokok yang sukar hendak turun apabila sudah naik ke atas.

"Ini tidak akan berlaku kerana sudah menjadi resam peniaga kita dan tabiat semula jadi mereka, jika minya diberikan percuma pun harga barang tidak akan turun, macam kucing panjat pokok," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:PH hapus mekanisme kutipan tol sedia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!