Lapan lokaliti di lima negeri dikenakan PKPD

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Lapan lokaliti di lima negeri iaitu Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Sabah dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Pahang dilaksanakan di mukim Kuala Kuantan 2 yang akan bermula pada 4 Julai hingga 17 Julai.

"Perlaksanaan PKPD ini dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 774 kes positif direkodkan daripada 6,472 saringan yang dilakukan dalam tempoh 14 hari di Kuala Kuantan," dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, PKPD turut dilaksanakan di Taman Desaria, Seremban, Negeri Sembilan, Taman Zifa, Bingkul di Beaufort, Kampung Simpangan di Kota Marudu, Sabah dan Kampung Bukit Tanah di Pasir Puteh, Kelantan.

"Di Kedah pula tiga lokaliti dikenakan PKPD iaitu Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Lembah Permai dan kawasan perindustrian Bakar Arang (termasuk Taman Cahaya PKNK).

“PKPD di semua kawasan ini akan berkuat kuasa pada 5 Julai hingga 18 Julai,” katanya.

Ismail Sabri berkata, PKPD selama dua minggu di Taman Merbau Utama, Pasir Puteh, Kelantan yang tamat pada Ahad akan dilanjutkan selepas KKM mendapati penularan berterusan masih berlaku dalam kalangan penduduk.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD di tiga lokaliti di Sabah iaitu Kampung Nelayan, Batu 10 di Sandakan; Fasa 1 dan Fasa 2, Taman Digot di Penampang dan Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4 di Lahad Datu pada 4 Julai.

Artikel Berkaitan:

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di kawasan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 711 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) di mana seramai 672 individu dikompaun, manakala 39 lagi direman.

"Seramai 169 individu gagal merekod butiran diri masuk premis, tiada penjarakan fizikal (116), tidak memakai pelitup muka (121), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (61), membawa penumpang berlebihan (23) dan lain-lain (221),” katanya.