Beberapa ahli Parlimen UMNO adakan pertemuan di Jalan Bellamy

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa ahli Parlimen UMNO dikatakan telah mengadakan pertemuan di sebuah banglo berhampiran Jalan Bellamy, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Ia berikutan khabar angin mengatakan UMNO akan menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) yang dijangka berlangsung pada minggu hadapan.

Bagaimanapun, menurut laporan Malaysiakini, pertemuan itu membabitkan seorang menteri, seorang timbalan menteri dan seorang lagi ahli Parlimen yang juga ketua syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketiga-tiganya dipercayai ahli Parlimen UMNO yang tidak menyokong Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Mac lalu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 telah memberikan mandat kepada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti untuk menentukan tarikh yang tepat bagi menarik diri daripada kerajaan PN.

Ahmad Zahid ketika PAU 2020 berkata, dengan mandat yang ada pada pucuk pimpinan itu, UMNO boleh menarik diri daripada kerajaan PN bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

Pada 21 Jun lalu, MKT UMNO memberi tempoh 14 hari kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggesa persidangan Parlimen diadakan segera sebagaimana saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada Jumaat, Parlimen turut mengemukakan cadangan kepada Muhyiddin agar mengadakan satu persidangan khas Parlimen sebelum 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid, MKT UMNO diberi mandat tentukan masa tarik diri sokong PN