Zahid, MKT UMNO diberi mandat tentukan masa tarik diri sokong PN

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad meluluskan usul supaya Presiden parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi mandat menentukan bila-bila masa untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Keputusan itu dicapai menerusi undian sebulat suara daripada perwakilan yang menghadiri perhimpunan terbesar parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian parti itu akan dibuat sekiranya kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak mempunyai indikasi bila Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan.

Beliau berkata, isu membabitkan sokongan terhadap kerajaan PN itu diambil memandangkan hampir keseluruhan perwakilan dan jurucakap parti yang mengambil bahagian dalam perbahasan menyentuh mengenai perkara tersebut.

"Padi tadi (Ahad) dalam ucapan dasar, saya ada menyebut ada kemungkinan mereka akan memanjangkan waktu PRU hingga cukup penggal.

"Kalau inilah menjadi keputusan mereka, saya yakin rakan-rakan kita dalam MKT yang mandatnya diberi kepada kita semua terutama menteri dan timbalan menteri, pengerusi GLC, malah seluruh ahli Parlimen akan 100 peratus akur dengan keputusan parti untuk menarik diri daripada PN," katanya ketika menggulung sesi perbahasan PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sesi sama turut memberi bayangan UMNO akan keluar secara beramai-ramai daripada kerajaan PN pada Ogos.

”Kita sama-sama kuatkan parti kita dan kita hadapi PRU. Jika kita sudah setuju nak tarik diri bulan Ogos, jadi (kita) tarik diri bulan Ogos.

Artikel Berkaitan:

”UMNO ini gajah, kita besar tapi apa guna jadi gajah kalau masuk hutan, satu ranting pun tak patah. Gajah kalau masuk hutan pokok tumbang, dia langgar semua.

"Jadi kalau nak langgar bulan Ogos, langgar sahaja. Jangan acah-acah sahaja,” tegas beliau.