6,658 jangkitan baharu, hampir separuh kes di Selangor

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 6,658 kes positif baharu Covid-19 pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan kes negara ini 772,607 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 3,047 kes diikuti Negeri Sembilan (699), Johor (414) dan Sarawak (361).

Menurut beliau, Melaka pula mencatatkan 345 kes, Sabah (322), Pahang (200), Kedah (145), Pulau Pinang (142), Labuan (108), Perak (101), Kelantan (89), Terengganu (51) dan Putrajaya (16).

“Sementara itu, terdapat dua kes baharu direkodkan di Perlis," katanya menerusi hantaran Facebook beliau pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 66,958 kes aktif dilaporkan di seluruh negara dengan 892 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 443 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, terdapat 107 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya, 5,434 kes.

"Kes kematian pada hari ini melibatkan 51 kes di Selangor, Kuala Lumpur (21), Negeri Sembilan (11), Johor (6), masing-masing lima kes di Kedah dan Pahang manakala empat kes di Melaka dan masing-masing satu kes di Sabah, Sarawak, Perak dan Labuan,” katanya.

Tambah beliau, kes sembuh pula mencatatkan 5,677 kes dan jumlah kumulatifnya adalah 700,215 kes iaitu bersamaan dengan 90.6 peratus daripada keseluruhan kes.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM turut merekodkan pertambahan 19 kluster baharu menjadikan jumlah keseluruhannya adalah 2,901 kluster.

“Ini meliputi 16 kluster di tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster di pusat tahanan.

"Sebanyak 2,030 kluster pula telah diisytiharkan tamat, manakala 871 lagi masih aktif," katanya.