Hari pertama PKPD jalan raya lengang

Keadaan di Lebuhraya Persekutuan lengang
Keadaan di Lebuhraya Persekutuan lengang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jalan-jalan di sekitar Lembah Klang termasuk Lebuhraya Persekutuan lengang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur bermula Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur mendapati kebanyakan yang berada di jalanan adalah kenderaan e-hailing, pengangkutan awam, lori dan pihak berkuasa.

Keadaan di beberapa buah pasar borong, kedai serbaneka dan kedai makan sekitar jam 11 pagi di sini turut didapati tenang serta tiada kelibat orang ramai berbaris panjang.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pihak kerajaan akan melaksanakan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai, setelah kedua-dua negeri tersebut menunjukkan trend angka jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan),Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lapan daerah di Selangor dikenakan PKPD melibatkan Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Tambahnya, di Kuala Lumpur, lokaliti yang dikenakan PKPD melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju dan Kampung Padang Balang.

Kedai serbaneka di dalam kawasan PKPD masih beroperasi di PPR Pantai Ria
Kedai serbaneka di dalam kawasan PKPD masih beroperasi di PPR Pantai Ria

Dalam pada itu, keadaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam dan Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya yang terlebih dahulu dikenakan PKPD didapati masih tenang dan terkawal.

Artikel Berkaitan:

Walaupun dikepung oleh kawat berduri, tinjauan Sinar Harian dari luar PPR Pantai Ria mendapati, penduduk masih dibenarkan untuk bergerak di dalam kawasan perumahan tersebut manakala kedai makan dan kedai runcit turut dibenarkan untuk terus beroperasi.

Pada masa sama, turut kelihatan penduduk di sini bergerak ke pintu masuk PPR tersebut untuk mengambil barangan yang dipesan sambil diawasi oleh anggota tentera yang bertugas.

Keadaan dalam kawasan PKPD di Mentari Court tidak dapat dipastikan kerana pangsapuri tersebut dikelilingi tembok batu yang tinggi, walau bagaimanapun keadaan di luar perumahan tersebut tenang dan dikawal rapi oleh pihak berkuasa.