X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Cemburu punca lelaki warga asing mati dibunuh

Lokasi kejadian mayat mangsa dipercayai dibunuh dan ditemui di kawasan semak berhampiran tangki air pasar malam Pekan Ranau.
A
A

RANAU - Cemburu sehingga berlaku satu pergaduhan dipercayai punca seorang lelaki warga asing mati dibunuh sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak berhampiran tangki air pasar malam Pekan Ranau pada Jumaat.

Mayat mangsa warga Filipina berusia 30-an itu ditemui dalam keadaan cedera di kepala dan lebam di bahagian badan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, orang awam yang menemui mayat terbabit bertindak melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan awal mendapati lokasi kejadian mayat ditemui kira-kira 100 meter dari tapak pasar malam Pekan Ranau.

"Pemeriksaan lanjut pada mayat lelaki itu terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala dan lebam di bahagian dada dipercayai dipukul dengan objek tumpul," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Siasatan lanjut mendapati mangsa bekerja sebagai buruh keluar dan sebelum kejadian mangsa bertemu dengan seorang wanita.

"Kejadian disyaki berlaku sekitar jam 11.30 pagi hingga 1 petang pada hari yang sama dan dipercayai akibat dari satu pergaduhan bermotifkan cemburu.

"Menurut keterangan ahli keluarga, mangsa sebelum itu keluar bertemu dengan seorang wanita yang dikenali oleh suspek dan suspek juga seorang warga asing dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian itu," katanya.

Sehubungan itu, Simiun berkata, pihaknya kini sedang giat memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil ke balai polis berhampiran sebagai saksi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis berhubung kejadian itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!