Pengusaha van sekolah jual nasi lemak

Rosuhaila bersama van sekolah miliknya yang kini tidak dapat meneruskan perkhidmatan akibat pandemik Covid-19.
Rosuhaila bersama van sekolah miliknya yang kini tidak dapat meneruskan perkhidmatan akibat pandemik Covid-19.
A
A
A

TEMERLOH - Pandemik Covid-19 mengakibatkan van dimiliki seorang wanita yang mengusahakan perkhidmatan van sekolah sejak 15 tahun lalu tersadai di depan rumah.

Rosuhaila Kassim, 46, dari Taman Rimba di Mentakab kini menjual nasi lemak untuk meneruskan kesinambungan hidup.

"Kami bersyukur kerana kerajaan ada berikan bantuan kepada pengusaha seperti kami, tapi jumlahnya tidak mampu menanggung semua kos.

"Jadi kena usaha sendiri, cari alternatif lain. Saya jual nasi lemak RM1.50 sebungkus dengan bayaran secara tunai ketika penghantaran (COD) selain letak di kedai," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya pada Jumaat.

Tambahnya, sejak pandemik Covid-19 melanda, dia menganggarkan kira-kira tiga bulan sahaja melakukan penghantaran pelajar sekolah.

"Masa buat van sekolah pun, saya kenakan bayaran bulanan terkini RM45 seorang dengan pendapatan kira-kira RM1,600 sebulan," jelas ibu kepada dua cahaya mata itu.

Rosuhaila berkata, walaupun suaminya ada menerima pencen bulanan selaku pesara tentera namun jumlahnya sekadar mencukupi untuk menjelaskan komitmen lain seperti ansuran kereta dan pinjaman rumah.

"Saya sangat berharap supaya pandemik ini cepat reda, pulih dan pengusaha seperti saya dapat meneruskan perkhidmatan semula," tambahnya.

Artikel Berkaitan: