Tiga kritikal, 6 cedera kereta rempuh gerai nasi lemak

Keadaan kereta yang terbabas dan merempuh gerai nasi lemak di Jalan Hospital, Taman Suria, Jitra, Kubang Pasu di sini pada Jumaat. Enam motosikal antara yang terlibat dalam kemalangan.
Keadaan kereta yang terbabas dan merempuh gerai nasi lemak di Jalan Hospital, Taman Suria, Jitra, Kubang Pasu di sini pada Jumaat. Enam motosikal antara yang terlibat dalam kemalangan.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga mangsa dilaporkan kritikal manakala enam lagi cedera selepas sebuah kereta terbabas sebelum merempuh sebuah gerai nasi lemak di Jalan Hospital, Taman Suria, Jitra, Kubang Pasu di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian berlaku pada jam 8.25 pagi melibatkan tiga kereta serta enam motosikal yang berada berhampiran gerai terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 20 tahun terbabas dan melanggar sebuah kereta lain yang berada di tepi jalan sebelum merempuh orang ramai yang sedang beratur di hadapan gerai nasi lemak berkenaan.

"Kemalangan terbabit menyebabkan sembilan individu cedera manakala tiga daripadanya dilaporkan kritikal termasuk pasangan suami isteri yang menjual nasi lemak di gerai itu," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan telah mengambil keterangan dari beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian," katanya.