Parlimen perlu segera hentikan arus deras kekecewaan ini

Dalam sidang Dewan Rakyat yang pertama pada tahun 1959, Yang di-Pertuan Agong pertama telah menggambarkan Parlimen dan Perlembagaan sebagai “dinamo kepada demokrasi”.
Dalam sidang Dewan Rakyat yang pertama pada tahun 1959, Yang di-Pertuan Agong pertama telah menggambarkan Parlimen dan Perlembagaan sebagai “dinamo kepada demokrasi”.
A
A
A

PADA permulaan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama, mesej yang disampaikan sekali-sekala adalah: rakan sekerja menangguhkan peluasan perniagaan yang telah dirancang, kawan memerlukan bantuan membayar sewa, manakala saya menyertai pelbagai sesi sumbang saran berkenaan pengajaran dalam talian. Rasa bimbang itu semakin meningkat selepas beberapa bulan: badan-badan kebajikan risau akan kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan (khususnya kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan dan pelarian), pemuzik terpaksa mencari kerja lain, dan para doktor barisan hadapan mula meluahkan kegusaran dan kemudian keletihan mereka.

Gerimis kegelisahan itu kini sudah menjadi arus deras kekecewaan. Setiap hari, akan ada rayuan untuk sumbangan barangan keperluan asas dan bayaran hospital. Pada minggu ini, satu pendedahan maklumat yang mengejutkan diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan iaitu empat kes bunuh diri berlaku setiap hari pada tahun 2021 (berbanding keseluruhan 631 kes pada tahun 2020). Gerakan #benderaputih adalah rangkuman kepada manifestasi kesukaran yang belum pernah terjadi ini.

Sepanjang waktu ini, sumbangan daripada rakyat Malaysia yang bersimpati berserta ikhtiar oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan inovasi oleh sektor swasta telah membantu meringankan beban penderitaan ramai pihak: daripada memberikan barang bekalan sehingga menyediakan perlindungan kesihatan mental. Di tengah-tengah waktu suram ini, kemurahan hati dan perpaduan yang ditunjukkan merupakan sesuatu yang patut kita raikan.

Walaupun begitu, rakyat, masyarakat sivil dan sektor perniagaan menaruh harapan terhadap kerajaan untuk memberi bantuan ketika cabaran luar jangkaan di peringkat nasional ini. Menangani Covid-19 merupakan suatu keutamaan di seluruh dunia, melebihi objektif-objektif dasar yang lain. Mengatakan bahawa beberapa negara lebih baik daripada yang lain adalah satu aforisme, walaupun setelah melihat kembali apa yang berlaku, banyak keputusan yang diambil berkenaan pemvaksinan, penutupan sempadan dan campur tangan ekonomi dilakukan secara spekulatif kerana data yang ada adalah terhad untuk meuar-uarkan dasar. Tetapi kini dengan lebih banyak pengalaman serta amalan terbaik yang dikongsi daripada seluruh dunia, ahli politik boleh dan harus membuat keputusan berasaskan sains berbanding hanya meneka. Kempen pemvaksinan yang sedang berlangsung memberikan harapan yang sangat diperlukan ketika ini.

Namun, tinjauan semula terhadap penilaian undian menunjukkan bahawa dari masa ke masa, rakyat Malaysia mempunyai tahap keyakinan yang berbeza-beza kepada pihak yang membuat keputusan. Individu yang sebelum ini dipuji kerana mencari penyelesaian kini dikritik manakala perbalahan antara ahli politik, birokrat dan para penasihat menjadi penghalang kepada satu kerjasama yang disampaikan dengan jelas untuk menangani wabak. Walaupun beberapa percanggahan pendapat itu disebabkan oleh niat yang baik tetapi interpretasi data yang berbeza, perbezaan pendapat lain berlaku kerana politik lebih diutamakan berbanding kesihatan awam.

Kombinasi kedua-dua kesusahan orang awam dan kekeliruan dalam membuat keputusan memberi penekanan kepada perlunya mengembalikan semula keyakinan awam terhadap pelbagai institusi yang rakyat perlukan demi kemandirian mereka.

Ini merupakan alasan Parlimen perlu kembali bersidang.

Ramai pemerhati ketika memberikan maklum balas kepada seruan Parlimen kembali bersidang ini, mempersoalkan jika pembukaan semula Parlimen akan membawa apa-apa perubahan.

Artikel Berkaitan:

Keraguan ini dapat difahami dengan mudah. Ahli politik dianggap akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk meningkatkan kedudukan dan kuasa mereka. Justeru, jika Parlimen bersidang kemungkinan akan berlaku pemujukan, menabur janji dan penyusunan semula kuasa dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.

Sungguhpun begitu, tanpa mengira apa pun yang terjadi, Perlembagaan Persekutuan memberikan negara kita kaedah yang terhad dalam usaha menangani situasi yang sedang dihadapi. Satu-satunya cara untuk memecahkan kebuntuan ini adalah dengan cara institusi negara mengambil tanggungjawab serta mengambil tindakan tepat demi membantu rakyat. Mengembalikan kejelasan dan keyakinan merupakan satu kemestian, dan Parlimen adalah saranan yang tepat untuk melakukannya.

Walaupun beberapa pihak masih merasa ragu-ragu, perasaan jijik yang berterusan dan terbuka terhadap elit politik tidak pernah berlaku sebelum ini. Media sosial telah mendedahkan sikap dwistandard mereka yang hipokrit dan berterusan dilakukan tanpa rasa malu ketika melanggar tatacara pengendalian piawaian (SOP), biarpun mendapat gaji yang lumayan serta kelebihan disebabkan naungan politik yang berterusan. Malah, terdapat kemungkinan untuk berlaku satu ‘penetapan semula’ atau pembaharuan agar dapat memecahkan kebuntuan ini walaupun titah diraja yang menyeru kepada ahli-ahli politik untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil supaya dapat menangani wabak berulang kali dikeluarkan.

Amat menyedihkan apabila terdapat beberapa pihak yang salah faham akan seruan Raja-raja Melayu. Walaupun baginda sekalian jelas bertujuan untuk mengembalikan demokrasi berparlimen serta membolehkan ahli politik yang dipilih rakyat menjalankan tugas, beberapa pengkritik telah membayangkan rampasan kuasa oleh kerabat diraja yang tidak sepatutnya berlaku! Amat menakjubkan apabila beberapa pihak yang sehingga kini merupakan penyokong tegar prestij diraja tiba-tiba telah bertukar arah, memahami Perlembagaan Persekutuan secara salah untuk memberikan kuasa yang tidak terhad serta tidak terkawal kepada kerajaan lalu mengenepikan semak dan imbang.

Hal tersebut bukanlah sebuah Malaysia yang kita idamkan, bahkan dalam situasi sekarang, interpretasi sebegitu berkemungkinan akan menimbulkan bencana.

Dalam sidang Dewan Rakyat yang pertama pada tahun 1959, Yang di-Pertuan Agong pertama telah menggambarkan Parlimen dan Perlembagaan sebagai “dinamo kepada demokrasi”. Kini, dinamo ini perlu menghentikan arus deras kekecewaan negara sebelum ia menjadi satu banjir besar yang tidak dapat dihentikan.

* *Artikel ini pertama kali terbit di dalam akhbar The Star pada Jumaat.

Kolumnis terbaru Sinar Harian ini adalah putera kedua Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Tunku Zain Al- 'Abidin merupakan lulusan Kuala Lumpur Alice Smith School, Marlborough College dan London School of Economics and Political Science.

Beliau pernah berkhidmat di Dewan Parlimen UK, Bank Dunia, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kumpulan KRA dan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew sebelum kembali ke Malaysia secara tetap.

Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) itu turut memegang beberapa jawatan penting antaranya Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit, Yayasan Munarah, Yayasan Jeffrey Cheah dan Yayasan Genovasi.

Beliau juga adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Allianz Malaysia Berhad dan Kian Joo Can Factory Berhad.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)


Tunku Zain turut menjadi penasihat atau penaung kepada banyak organisasi pendidikan dan muzik; ahli jawatankuasa beberapa pertubuhan; kolumnis akhbar dan Felo Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia.