Dunia alami kenaikan tinggi harga makanan

Penduduk global menghadapi kenaikan harga makannan ketika pandemik Covid-19 melanda hampir kebanyakan negara di dunia. - Foto AFP
Penduduk global menghadapi kenaikan harga makannan ketika pandemik Covid-19 melanda hampir kebanyakan negara di dunia. - Foto AFP
A
A
A

Harga makanan global kini semakin meningkat dengan kadar cepat dalam tempoh satu dekad dan diburukkan lagi dengan masalah negara-negara di dunia yang masih berusaha untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

Berikutan itu, sebuah agensi badan dunia iaitu Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) kini bimbang bahawa kenaikan harga makanan tersebut mungkin mencetuskan kekacauan di beberapa buah negara yang mengalami masalah politik.

Menurut FAO, harga makanan telah meningkat hampir 40 peratus pada bulan Mei lalu berbanding setahun lalu iaitu peningkatan paling tinggi sejak September 2011.

Dalam tempoh 12 bulan sahaja, harga jagung meningkat 88 peratus, kacang soya naik setinggi 73 peratus, bijian dan produk tenusu melonjak sebanyak 38 peratus, gula pula naik kepada 34 peratus serta daging meningkat sebanyak 10 peratus.

"Secara jelasnya, ia amat membimbangkan," kata Ketua Ekonomi Program Makanan Sedunia (WPF), Arif Husain seperti dilaporkan oleh AFP.

Pada tahun 2007 hingga 2008, peningkatan harga makanan asas telah mencetuskan rusuhan di sejumlah negara di sekitar dunia.

Apabila memasuki tahun 2010 hingga 2011, faktor harga makanan yang meningkat menjadi antara punca kebangkitan Arab Spring sehingga menumbangkan pemerintahan di beberapa buah negara Arab.

Ekonomi global kini semakin berkembang tetapi inflasi turut meningkat semasa kerajaan-kerajaan di dunia memperuntukkan sejumlah besar wang dalam program rangsangan selepas pandemik Covid-19 menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ekonomi China iaitu negara yang diramalkan oleh Bank Dunia akan meningkat kepada 8.5 peratus pada tahun 2021 kini menghadapi masalah kenaikan harga makanan antaranya daging dan bijirin.

"China ketika ini menghadapi kenaikan harga makanan," kata seorang ahli ekonomi, Philippe Chalmin.

Ekonomi Amerika Syarikat (AS) juga dijangkakan kembali pulih dengan kukuh dengan Bank Dunia meramalkan pertumbuhannya ialah 6.8 peratus pada tahun ini.

Namun, pemulihan ekonomi kini amat mendatar di seluruh dunia dengan negara-negara membangun berdepan dengan bayaran import yang lebih tinggi manakala pendapatan pula tidak berkembang, kata Timbalan Pengarah Bahagian Perdagangan dan Pasaran FAO, Josef Schmidhuber.

Pandemik Covid-19 bukan hanya faktor yang menyebabkan kenaikan harga makanan tetapi faktor cuaca seperti kemarau di Brazil menyebabkan kenaikan dalam harga jagung dan harga minyak yang kembali meningkat.

Berapa lama kenaikan harga makanan itu akan berlaku?

Menurut Schmidhuber, beliau percaya harga makanan itu akan kekal tinggi dalam tahun ini disebabkan oleh harga minyak.

"Jika ia (harga minyak meningkat), harga makanan juga akan kekal tinggi bagi tempoh yang lama," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

Kenaikan harga minyak juga meupakan faktor yang menyebabkan harga makanan melonjak naik pada tahun ini. - Foto AFP
Kenaikan harga minyak juga meupakan faktor yang menyebabkan harga makanan melonjak naik pada tahun ini. - Foto AFP

Sementara itu, seorang ahli ekonomi FAO, Abdolreza Abbassian berkata, satu-satunya perkara yang diketahui pertubuhan tersebut ialah harga makanan akan mudah berubah pada masa depan.

Ketika negara-negara menghadapi pandemik Covid-19, kadar inflasi harga makanan ketika ini adalah lebih 20 peratus, kata Arif Husain dari WPF.

Lubnan kini berdepan dengan krisis ekonomi dan kewangan yang menyebabkan nilai mata wangnya merosot manakala kadar inflasi di negara tersebut kekal berada pada paras 226 peratus bagi tempoh 12 bulan pada Mei lalu, menurut laman sesawang Trading Economis.

Di Argentina, kerajaan menggantung import daging untuk sebulan pada pertengahan Mei lalu ketika harga barang makanan meningkat.

Menurut Bank Dunia, inflansi tinggi di Nigeria yang disebabkan kenaikan harga makanan asas telah menyebabkan tujuh juta penduduk menjadi miskin.

"Harga (makanan) semakin meningkat tetapi pada masa sama, pendapatan penduduk berkurangan akibat Covid-19," kata Arif Husain seperti dilaporkan oleh AFP.

"Seorang individu miskin akan terasa terhimpit kerana kenaikan harga makanan dan pada masa sama mereka tidak mempunyai wang," katanya. - Agensi