Pernah gesa Israel musnahkan Gaza, kini pemilik restoran rayu bantuan

Harman Singh Kapoor mendakwa perniagaannya terjejas teruk akibat gelombang ulasan negatif di Google selepas video kontroversinya mengenai Gaza tersebar di media sosial - Foto: Agensi
Harman Singh Kapoor mendakwa perniagaannya terjejas teruk akibat gelombang ulasan negatif di Google selepas video kontroversinya mengenai Gaza tersebar di media sosial - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Seorang pemilik restoran makanan India yang pernah menggesa Israel memusnahkan lebih banyak bangunan di Gaza kini merayu bantuan orang ramai bagi menyelamatkan perniagaannya daripada ditutup.

Harman Singh Kapoor, pemilik restoran Singh's Dining di London, Britain, mendakwa perniagaannya terjejas teruk akibat gelombang ulasan negatif di Google selepas video kontroversinya mengenai Gaza tersebar di media sosial.

Menurut laporan Al Jazeera dan media antarabangsa, Kapoor sebelum ini memuat naik video yang mempersoalkan mengapa sebuah bangunan masih berdiri di Gaza, sambil menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tenteranya mengambil tindakan.

Kenyataan tersebut mencetuskan kemarahan pengguna media sosial, khususnya penyokong Palestin, sehingga restorannya menerima banyak penilaian satu bintang.

Dalam video rayuan yang dimuat naik pada 12 Oktober lalu, Kapoor mengakui perniagaannya sedang berdepan tekanan kewangan serius, termasuk tunggakan sewa premis.

"Hari ini, saya mengetepikan ego dan meminta bantuan anda untuk menyelamatkan restoran saya," katanya.

Beliau turut mendakwa Google menerima ulasan palsu satu bintang, namun tidak menyiarkan penilaian lima bintang daripada pelanggan sebenar.

Kapoor mendakwa pemilik premis turut mengancam mengambil tindakan mahkamah berhubung tunggakan sewa tersebut.

Selain itu, beliau mendakwa laman web restorannya mengalami serangan siber sehingga menjejaskan tempahan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Kapoor merayu orang ramai supaya mengunjungi restorannya, membuat tempahan dan memberikan ulasan jujur bagi membantu perniagaan tersebut.

Bagaimanapun, beliau kemudian menegaskan Singh's Dining masih beroperasi dan menafikan dakwaan restoran itu sudah ditutup.

Setakat ini, dakwaan berhubung ulasan palsu, serangan siber dan ancaman tindakan mahkamah belum dapat disahkan secara bebas. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!