[VIDEO] Tiada aduan kenaikan harga makanan bazar di Kedah - KPDN

Affendi (kanan) ketika melancarkan Sukan Berenang Rahmah di Sungai Petani pada Ahad.
Affendi (kanan) ketika melancarkan Sukan Berenang Rahmah di Sungai Petani pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah tidak menerima sebarang aduan

berhubung kenaikan harga makanan di bazar Ramadan di negeri itu setakat ini.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, laporan di setiap cawangan atau daerah di negeri ini menunjukkan tiada sebarang notis dikeluarkan atau tangkapan dibuat.

Bagaimanapun jelasnya, pemantauan akan terus dijalankan sepanjang Ramadan bagi memastikan setiap peniaga mematuhi peraturan selain tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga sehingga tidak munasabah.

"Kita buat pencegahan, bagi advokasi agar peniaga sedar dengan menjual makanan dengan harga tidak munasabah akan dikenakan tindakan dan akhirnya mereka beri kerjasama penuh," katanya ketika melancarkan Sukan Berenang Rahmah di sini, pada Ahad.

Jelas Affendi, sekiranya hasil pemantauan mendapati ada makanan dijual pada harga mahal, KPDN akan memberi notis dan minta penjelasan.

"Kita akan beri notis bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dan berdasarkan jawapan diberikan, kita akan kaji kes serta rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan," katanya.

Beliau menjelaskan, pembeli atau pengguna juga berhak membuat aduan sekiranya merasakan harga makanan di bazar tidak munasabah.

"Aduan boleh dibuat melalui aplikasi disediakan, laman web atau website KPDN Kedah atau pusat.

"Jika aduan itu berlaku di Kedah, kita akan selesaikan dalam tempoh 24 jam contoh berkaitan harga makanan dan sekiranya aduan itu memerlukan siasatan atau risikan, kita perlukan sedikit masa," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai Sukan Berenang Rahmah, Affendi berkata, konsep rahmah yang diterapkan dalam sukan renang adalah salah satu inisiatif memperkenalkan aktiviti tersebut secara lebih meluas.

Pengerusi Kelab Akuatik Sungai Petani, Dr Sritharan Rao berkata, Kelab Berenang Rahmah terbuka untuk pelajar sekolah berusia lingkungan enam hingga 17 tahun yang berdaftar sebagai ahli kelab renang tersebut.

"Semua ahli kelab yang telah berdaftar hanya perlu membayar harga serendah RM5 setiap kali menggunakan kemudahan kolam renang di Kelab Sungai Petani berbanding harga RM6.50 sebelum ini di samping bayaran bulanan sebagai ahli yang dikenakan sebanyak RM90 sebulan.

"Turut disediakan, seorang jurulatih profesional sepanjang kelas berlangsung," jelasnya.