Hijab Girl ungguli pertandingan fotografi antarabangsa

Gambar hasil bidikan Wan Mohd Fadzli dengan tajuk Hijab Girl memenangi tempat pertama menerusi The VII Jalón Ángel International Photography bagi kategori Potrait.
Gambar hasil bidikan Wan Mohd Fadzli dengan tajuk Hijab Girl memenangi tempat pertama menerusi The VII Jalón Ángel International Photography bagi kategori Potrait.
A
A
A

KUALA NERUS - Foto bertajuk 'Hijab Girl' yang dipertaruhkan seorang jurugambar sambilan dari Terengganu memenangi tempat pertama bagi kategori potrait dalam pertandingan fotografi, The VII Jalón Ángel International Photography anjuran San Jorge University di Sepanyol.

Kemenangan dirangkul Wan Mohd Fadzli Wan Samsudin, 39, dari Kampung Gong Datok, di sini, menewaskan 2,300 peserta dari 94 negara lain termasuklah Sepanyol, Rusia, Iran, Perancis, India, Bangladesh, Argentina, Mexico, Colombia, Itali dan lain-lain.

Wan Mohd Fadzli yang merupakan pereka grafik di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, beliau tidak menyangka hasil bidikan gambar memaparkan sekumpulan pelajar perempuan dari Maahad Darul Quran Rusila yang dirakam pada awal 2019 itu menjadi pilihan seterusnya berjaya menambat hati juri.

Wan Mohd Fadzli
Wan Mohd Fadzli

"Memandangkan terdapat persaingan sengit dalam pertandingan ini, saya cuba nasib dan tawakal untuk hantar sekeping gambar memaparkan sekumpulan gadis berhijab.

"Gambar ini dipilih kerana ia memiliki identiti kita sebagai orang Islam dan saya ingin mengetengahkannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, menurut Wan Mohd Fadzli, beliau perlu menunggu sekitar setengah jam untuk dapatkan waktu yang tepat untuk merakam gambar tersebut secara spontan.

Sementara itu, berdasarkan komen juri, foto milik Wan Mohd Fadzli layak dipilih sebagai pemenang kerana memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan sekali gus melayakkannya menerima hadiah wang tunai €1000 (RM4,921), trofi (arca edisi terhad oleh artis Jesús García) dan sijil yang diumumkan Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, gambar tersebut memiliki komposisi, kontra hitam dan putih serta menampilkan suasana yang disifatkan sebagai baharu dan masih asing dalam kalangan masyarakat di sana.

Dalam pada itu, Wan Mohd Fadzli merakam penghargaan atas sokongan individu di sekliling terhadap minat dan kariernya itu.

"Jutaan terima kasih kepada isteri dan keluarga yang tercinta atas sokongan selama ini. Tidak lupa juga saudara-mara dan sahabat-sahabat yang banyak membantu selama ini," katanya yang tinggal di Kampung Gong Datok, di sini.

Selain bekerja sebagai jurugambar sambilan dan pereka grafik, Wan Mohd Fadzli menjadi pengajar sambilan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi subjek kokurikulum fotografi selain terlibat sebagai sebagai tenaga pengajar Program Empower ECER Hulu Terengganu dan Program Empower ECER-UiTM Marang.

Wan Mohd Fadzli pernah memenangi tempat pertama dalam FaveKad Malaysia Patriotism Photography Contest (2018), Top 10 Finalist of Photo-Creator of the Year 2016 di Kuala Lumpur Photography Festival (KLPF) serta Top 50 di dalam IAMM International Photography Competition pada 2017.