23 premis dikompaun, empat kilang diarah tutup

Roslin (dua dari kanan) bersama anggota penguatkuasa agensi berkaitan semasa melakukan pemeriksaan di sebuah premis.
Roslin (dua dari kanan) bersama anggota penguatkuasa agensi berkaitan semasa melakukan pemeriksaan di sebuah premis.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 23 premis dikenakan kompaun termasuk empat kilang diarahkan tutup dalam Ops Pematuhan sekitar daerah ini pada Khamis.

Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Abd Hamid berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah majikan membenarkan had kapasiti melebihi 60 peratus kehadiran pekerja selain gagal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Menurutnya, empat kilang diarah ditutup kerana beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), membabitkan kilang membuat bahan kimia, sarung tangan, dan dua lagi kilang elektronik.

"Ada pemilik premis yang gagal menyediakan laluan keluar masuk dengan sempurna serta tiada penjarakan satu meter," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambahnya, MKN bersama agensi penguatkuasaan lain akan terus melaksanakan pemantauan secara berterusan khususnya membabitkan industri bagi memastikan semua pengusaha mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Tindakan kompaun, notis dan arahan penutupan premis akan dikenakan kepada individu serta pemilik premis mengikut kategori dan jenis kesalahan di bawah Peraturan 17, P.U (A) 278/2021, iaitu Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 4) 2021, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Kompaun sebanyak RM50,000 akan dikenakan terhadap pemilik kilang manakala bagi kesalahan membabitkan individu akan dikompaun RM1,500," katanya.

Ops bersepadu yang diadakan disertai oleh 2,463 anggota penguatkuasa termasuk MKN Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Seremban, MITI, Jabatan Kesihatan Negeri, dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan: