Covid-19 hampiri 7,000, Selangor kekal tertinggi

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes positif Covid-19 terus merekodkan peningkatan dengan 6,988 kes baharu dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat negeri dan wilayah melaporkan kes tertinggi iaitu Selangor (2,885), Kuala Lumpur (988), Negeri Sembilan (692) dan Sarawak (544).

Melaka mencatatkan 311 kes, diikuti Johor (270), Kedah (250), Sabah (232), Pahang (195), Perak (149), Labuan (129), Kelantan (108), Terengganu (50), Putrajaya (10) dan satu kes di Perlis.

"Jumlah keseluruhan kes dilaporkan adalah 758,967," katanya menerusi laman Twitter pada Khamis.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata, daripada 6,988 kes baharu, lima adalah kes import dan 6,983 melibatkan penularan dalam negara.

Beliau berkata, sebanyak 5,580 kes sembuh dicatatkan pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 688,260 kes.

“Kes aktif kini mencatatkan 65,453 manakala jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) seramai 917 orang termasuk 445 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 84 kematian direkod pada Khamis melibatkan 77 warganegara dan tujuh warga asing berumur lingkungan 30 hingga 90 tahun dengan majoritinya menghidap penyakit kronik, menjadikan angka keseluruhan korban akibat wabak itu kini 5,254 orang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memaklumkan 21 kluster baharu dikesan pada Khamis dengan 11 daripadanya penularan di tempat kerja, sembilan kluster melibatkan komuniti dan satu kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi.

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah kluster Dah Batik Industri Sungai Petani, Dah Mawar Biru dan Dah Lima Industri Sungai Petani di Kedah; kluster Industri MIEL Bayan Lepas, Lorong Perusahaan Maju Lapan dan Jalan Perusahaan Maju Sembilan di Pulau Pinang manakala di Perak membabitkan kluster Jalan Perusahaan Maju Sembilan (terdapat juga di Pulau Pinang) dan Jalan Industri Enam Jelapang.

Di Selangor, kluster Industri Balakong Empat dan Industri Perusahaan Selesa Jaya, manakala di Kuala Lumpur melibatkan kluster Jalan Sin Chew Kee serta kluster Kampung Telok Kemang di Johor.

Kluster komuniti pula ialah kluster Kampung Tengah Tanah Merah, Kampung Redang Gunong, Kampung Bagus, Kampung Hutan Banggol dan Taman SP Mahang di Kelantan; kluster Seri Semarak (Kuala Lumpur); kluster Nahaba 2 (Sabah); kluster Dah Tanjung Setol (Kedah) manakala di Johor melibatkan kluster Jalan Lagenda.

Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi di Pulau Pinang pula adalah kluster Jalan Residensi. - Bernama